Resepsi Hari Republik India

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, malam ini, telah meraikan Hari Republik India ke-72 dengan majlis resepsi yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Brunei, Jerudong.

Hadir bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Mohd Yussof dan isteri.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar dalam ucapannya menyentuh mengenai hubungan dua hala antara India dan Brunei yang terus rapat.

Beliau berkata, Mei 2021 menandakan ulang tahun ke-31 penubuhan hubungan diplomatik antara India dan Brunei.

Pelbagai aspek hubungan antara kedua-dua negara telah menyaksikan pertumbuhan yang stabil pada beberapa tahun kebelakangan.

Yang berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan TYT Ajaneesh Kumar semasa menghadiri majlis tersebut.
TYT Ajaneesh Kumar menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Walaupun dalam masa sukar penularan pandemik COVID-19, ujar beliau lagi, kedua-dua negara telah berusaha untuk mengekalkan momentum hubungan dua hala melalui kemajuan yang berterusan dalam bidang-bidang yang dikenal pasti semasa Perundingan Pejabat Luar Negara ke-7 yang diadakan pada Jun 2019.

Menurut beliau, ia merupakan penglibatan penting yang merangka jalan untuk lebih mengeratkan dan mempelbagaikan lagi hubungan Brunei dan India dengan membuka platform baharu untuk kerjasama dua hala.

Tuan Yang Terutama menjelaskan bahawa Brunei merupakan negara yang sangat penting untuk keselamatan tenaga India melalui eksport minyak mentahnya ke India.

Sebanyak 90 peratus minyak mentah telah dieksport ke India, manakala India mengeksport produknya ke Brunei yang termasuk automotif, mesin, daging lembu beku, barang makanan dan lain-lain malah kedua-dua buah negara juga bertukar dalam digitalisasi, e-dagang dan e-tadbir urus.

Beliau juga berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menyokong keupayaan program pembangunan Brunei, India telah menawarkan pelbagai latihan program untuk kepentingan rakyat Brunei.

Sejak Oktober 2019, jelas beliau, beberapa orang pegawai kerajaan Brunei telah mengikuti pelbagai latihan program termasuk dalam Perhimpunan dan Latihan Nanosatelit, siber keselamatan dan perumahan sert modul latihan e-ITEC.

Di samping itu, untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan, India juga menawarkan 1,000 biasiswa kepada para pelajar Brunei dan beberapa orang dari negara anggota ASEAN yang lain untuk program doktor falsafah yang dijalankan di 23 institut kolej teknologi India yang terkenal di seluruh dunia, tambahnya.

Terdahulu, majlis resepsi telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan memotong kek sempena Hari Republik India ke-72 tahun yang dilakukan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Pesuruhjaya Tinggi India.