Resepsi makan malam dalam kapal selam

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, malam tadi, menghadiri majlis makan malam dalam kapal selam Australian Collins Class bernama HMAS Dechaineux yang berlabuh di Dermaga Komersial Muara.

Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah serta pemerintah-pemerintah angkatan tentera.

Sejurus tiba, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan delegasi kementerian serta ABDB telah dialu-alukan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum; Pemerintah Tentera Laut Diraja Australia, Laksamana Madya Michael Noonan dan Pegawai Pemerintah HMAS Dechaineux, Komander Brad Francis.

Lawatan kapal selam yang pertama ke Negara Brunei Darussalam itu menandakan hubungan pertahanan yang rapat dan kian terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Australia yang terus diperkukuhkan melalui interaksi dua hala dan pelbagai hala.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika majlis makan malam di dalam HMAS Dechaineux. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan