Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Kebangsaan Kerajaan Arab Saudi ke-93 dengan majlis resepsi di Tarindak D’Polo, Jerudong, malam ini.
Hadir bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.
Mengalu-alukan ketibaan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ke majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak kerajaan Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al-Buraithin.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Arab Saudi diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Kemudian majlis diteruskan dengan tayangan video yang mempamerkan projek-projek mega yang bakal dilaksanakan kerajaan Arab Saudi termasuklah Diriyah Project, Sindala Project, Aluma Project, The Line Project, The Cube Project, The Kingdom’s Astraut Program, Electric Cars Project, King Salman Park Project dan banyak lagi.
Ia disusuli dengan acara memotong kek yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan TYT Mohammed Abdullah Al-Buraithin.
Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Canang Seri Mahkota dan pameran.