Resepsi rai Hari Kemerdekaan Myanmar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Suruhanjaya Tinggi Republik Kesatuan Myanmar di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan Majlis Resepsi Sambutan Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar ke-72 di Indera Samudera, The Empire Brunei, Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong serta isteri.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Republik Kesatuan Myanmar, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn.

Tuan Yang Terutama dalam ucapannya berkata, Negara Brunei Darussalam dan Republik Kesatuan Myanmar mula menjalin hubungan diplomatik pada 21 September 1993, yang mana Republik Kesatuan Myanmar secara konsisten mengekalkan hubungan baik dan mesra yang sedia ada antara kedua-dua buah negara.

Beliau juga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Baginda atas sokongan berterusan kepada proses transformasi politik dan ekonomi Republik Kesatuan Myanmar dalam memenuhi visi dan objektif ASEAN.

Kemuncak majlis ialah acara memotong kek sambutan Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar dan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis yang disempurnakan oleh TYT U Htin Lynn.

Majlis juga turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan kebudayaan Myanmar.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan TYT U Htin Lynn bersama pasangan masing-masing serta ahli kor diplomatik lain memotong kek ulang tahun Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar ke-72, malam tadi. – Gambar oleh Bahyiah Bakir