Restoran Afghanistan suburkan ekonomi tempatan

SHIBERGHAN, AFGHANISTAN – Ketika dunia kelihatan tidak pasti bagaimana peristiwa seterusnya dalam sejarah Afghanistan yang akan berlaku, Abdul Rahim Fattah, 32, sebaliknya sibuk, cuba memastikan masa depan lebih baik daripada masa lalu.

Beribu-ribu rakyat Afghanistan, termasuk rakan-rakannya, telah meninggalkan negara itu ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sejak kejatuhan kerajaan yang disokong AS dan pengambilalihan oleh Taliban pada Ogos lalu.

“Saya meminjam kira-kira AS$10,000 untuk meninggalkan Afghanistan, tetapi saya mengubah rancangan saya,” katanya. Fatah memutuskan untuk membuka sebuah restoran di Shiberghan, ibu kota wilayah Jawzan utara. Dia percaya bahawa rakyat Afghanistan boleh membina semula negara mereka sendiri jika mereka bersedia untuk bekerja keras.

“Saya memberi harapan kepada orang yang tidak mahu pergi, tetapi untuk kekal dan membina semula. Saya telah membelanjakan wang saya di sini untuk membantu membina semula ekonomi walaupun pada tahap minimum,” katanya. Fatah sudah mengambil tujuh orang untuk bekerja.

Selain makanan, restoran Fatah juga mempunyai perpustakaan kecil. Restorannya juga menggunakan produk tempatan secara eksklusif untuk membantu perniagaan tempatan yang lain.

“Di tempat saya, tukang masak hanya menggunakan beras, daging, sayur-sayuran keluaran tempatan,” kata Fatah.

Ini adalah restoran baharu pertama di Shiberghan selepas kejatuhan kerajaan terdahulu pada Ogos. Sejak itu, ramai orang Afghanistan telah pergi ke luar negara. Afghanistan adalah sebuah negara pertanian dan menggunakan tanaman tempatan menggalakkan petani. Selain menyeru warga Afghanistan tinggal di rumah dan bekerja, Fatah menjangkakan pentadbiran baharu itu dapat menstabilkan ekonomi.

Mengalu-alukan inisiatif Fatah, seorang pelanggan restoran, Mahboubullah Mehran melahirkan rasa puas hatinya dengan keadaan keselamatan di Shiberghan.

“Seperti Fatah, orang lain boleh memulakan perniagaan dan menyumbang kepada pembinaan semula ekonomi,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Taghral Beg Batur, 25, merasakan perkara yang sama.

“Lari bukan penyelesaian. Afghanistan memerlukan orang muda yang berpendidikan untuk membina semula,” katanya.

Semasa wartawan meninggalkan Fatah bersama pelanggannya di restorannya, dia mempunyai beberapa kata putus.

“Kita perlu melabur dalam masyarakat kita untuk membantu membina semula dan menstabilkan ekonomi kita dan bukannya meninggalkan negara.” – Xinhua

Orang ramai makan tengah hari di restoran Abdul Fattah. -Xinhua
Seorang lelaki Afghanistan menyediakan Qabili di restoran Abdul Rahim Fatah di bandar Shiberghan, Afghanistan. – Xinhua