Restoran, bar Tokyo kembali beroperasi

TOKYO, 25 OKT – Penduduk di Tokyo kini boleh makan dan minum di bar dan restoran pada waktu malam bermula hari ini, ketika pegawai mengendurkan peraturan penjarakan sosial setelah kes harian koronavirus negara itu mencapai tahap terendah dalam masa lebih setahun.

Orang ramai sudah mula ke bar-bar dan menaiki kereta api sejak Jepun membatalkan perintah darurat sederhananya pada 30 September namun pegawai di Tokyo meminta perniagaan makanan dan minuman mengekalkan penutupan awam sehingga Ahad sebagai langkah berwaspada terhadap peningkatan mendadak koronavirus.

Selepas menyaksikan peningkatan hampir 6,000 kes dalam pertengahan Ogos, Tokyo kini melaporkan kurang daripada 50 jangkitan COVID-19 sehari. Sebanyak 17 kes baharu dilaporkan hari ini merupakan yang terendah sejak Jun 2020.

“Saya gembira,” kata Mitsuru Saga, pemilik restoran Taiko Chaya di pusat bandar Tokyo, semasa ditemu bual Nippon Television. Menurutnya, restorannya kini beroperasi sehingga 11 malam buat kali pertama dalam 11 bulan.

Namun Saga bimbang, ramai orang masih belum senang makan dalam restoran. “Ramai orang minum di rumah kerana COVID-19 dan saya bimbang, sama ada pelanggan akan datang semula atau sebaliknya,” katanya.

Pakar agak kehairanan dengan pengurangan mendadak kes di Jepun. Sebahagian menyifatkannya kerana pemberian vaksin yang pantas selepas permulaan perlahan, pemakaian pelitup muka berleluasa dan aktiviti waktu malam yang berkurangan. – AP

Orang ramai berjalan di kaki lima di Tokyo, 25 Okt. Penduduk di bandar itu kini boleh makan dan minum di bar dan restoran selepas peraturan penjarakan sosial dilonggarkan. – AP