Restoran dibuka semula di Iran

TEHRAN, 26 MEI – Iran melonggarkan sekatan selanjutnya bertujuan mengawal penularan koronavirus hari ini dengan membenarkan restoran menerima pelanggan, ketika ia mengumumkan 57 lagi kematian akibat virus itu.

Sejak kes pertama COVID-19 muncul di negaranya pada pertengahan Februari, republik Islam itu telah berusaha untuk menghentikan penyebaran virus tanpa mengenakan perintah berkurung.

Seorang timbalan menteri kesihatan mengumumkan pelonggaran sekatan ke atas restoran.

“Restoran yang sebelum ini hanya dibenarkan untuk mengedar makanan kini dibenarkan menerima pelanggan mulai hari ini,” beritahu Mohsen Farhadi kepada televisyen negeri.

Farhadi menggesa restoran supaya menghormati protokol kesihatan untuk memastikan penjarakan dua meter, satu langkah yang dikatakan beliau akan mengurangkan jumlah pelanggan sebanyak 50 peratus.

Jurucakap kementerian kesihatan Kianoush Jahanpour melaporkan 57 kematian COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, membawa jumlah kematian di negara kepada 7,508.

Jahanpour berkata 1,787 kes jangkitan baharu dalam tempoh yang sama membawa jumlah kes di republik Islam kepada 139,511. – AFP

Penduduk Iran melalui sebuah restoran di ibu negara Tehran kelmarin. – AFP