PARIS, 25 JULAI – Seorang penjaga pintu bekerja di restoran elit Paris yang terbabit dalam skandal perkauman berkata hari ini dia diberitahu supaya tidak membenarkan pelanggan kulit hitam daripada memasuki restoran itu.
Restoran dan kelab malam The Manko di Avenue Montaigne, terletak berdekatan dengan Champs-Elysees, sedang disiasat selepas video timbul menunjukkan wanita kulit hitam dihalau dari tempat tersebut.
Restoran bertemakan Peru itu menafikan mengamalkan dasar rasis dan telah meminta maaf kepada tiga wanita terkejut yang merakam pengalaman mereka pada 16 Julai dan menyiarkannya di TikTok.
“Mereka memberitahu saya ‘awda tidak patut membenarkan warga Afrika masuk. Awda tidak patut membenarkan penduduk Maghreb masuk,” beritahu penjaga pintu dalam klip video yang disiarkan di televisyen BFM hari ini.
Dikenali sebagai Damien oleh saluran televisyen, penjaga pintu itu dipecat selepas klip TikTok tular tetapi dia berkata arahan datang daripada ‘pengurus’ dan dia hanya mematuhi ‘dasar restoran’.
Wanita dalam video itu tidak dibenarkan masuk berdasarkan alasan mereka tidak memakai ‘gaun majlis malam’ – walaupun mereka berpakaian formal.
Pelanggan kulit hitam lain kelihatan dihalau sementara pelanggan kulit putih pula dibenarkan masuk. – AFP