Restoran I-Lotus laksana konsep pandu lalu mudahkan pelanggan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Dalam mengutamakan kemudahan dan kesejahteraan pelanggan, Restoran I-Lotus di Kampung Rimba telah menyediakan konsep pilih dan pandu lalu mereka sendiri yang unik sepanjang Ramadan ini.

Pelanggan yang tiba di premis restoran berkenaan akan diberi senarai hidangan yang boleh dibeli dan selepas memesan hidangan untuk dibawa balik, pelanggan boleh memandu ke sudut seterusnya untuk menerima pesanan mereka dan membayarnya.

Setiap hari terdapat menu berlainan bagi makanan dan hidangan pencuci mulut serta pembuka selera. Antara yang menjadi kegemaran adalah sambal ketam, ayam kari hijau, Mongolian Lamb, daging BBQ, sayur campur, Bean curd Minced Chicken, Fresh Yam Sago, puding kelapa, Soya Bean, cucur dan banyak lagi.

Bagi kesejahteraan pelanggan, para pelayan memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan. Pemegang kad kredit dan debit Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga boleh mendapatkan diskaun daripada 10 hingga 50 peratus sepanjang Ramadan ini.

Dalam pada itu, pelanggan yang berbelanja lebih daripada jumlah tertentu boleh mendapatkan perkhidmatan penghantaran secara percuma bagi kawasan 10km radius dari restoran berkenaan. Menurut pihak pengurusan restoran, susulan pengumuman sekatan bagi makan di restoran, perniagaan mereka telah menurun sebanyak 70 peratus. Dalam menangani situasi berkenaan, mereka telah melaksanakan perkhidmatan penghantaran dan bawa balik. Dengan konsep pilih dan pandu lalu itu, mereka berharap orang ramai akan dapat terus menikmati makanan berkualiti daripada Restoran I-Lotus semasa Ramadan ini. Pada hari pertama Ramadan, ramai pelanggan berpendapat bahawa konsep berkenaan sangat berguna dan berkesan.

Konsep pandu lalu yang telah disediakan oleh Restoran I-Lotus sepanjang Ramadan ini bagi kemudahan dan kesejahteraan pelanggan.