Restoran makanan segera automatik di Bogota

BOGOTA – Rangkaian restoran makanan segera di Colombia merancang untuk menukar cawangan-cawangannya menjadi restoran automatik ketika wabak koronavirus telah menjejaskan industri perkhidmatan makanan di seluruh dunia.

MUY mempunyai lebih dari 30 buah cawangan restoran di Bogota dan empat buah di Bandar Mexico. Awal bulan ini, mereka telah membuka ‘kedai tanpa bersentuhan’ pertamanya di daerah komersial Bogota, di mana kebanyakan restoran terpaksa ditutup disebabkan oleh larangan untuk makan di tempat duduk restoran.

Lobi utama automatik mempunyai skrin sentuh berwarna-warni tempat pelanggan memesan makanan. Skrin lain memberitahu pesanan sudah siap dan mengarahkan mereka ke bilik kecil untuk mengambil makanan di dalam sebuah kotak kecil. Mesin tersebut menerima pembayaran secara tunai dan kad kredit.

“Ia sangat praktikal,” menurut Felipe Sanchez, seorang publisiti yang mengatakan dia mengunjungi restoran itu dua kali seminggu. “Saya rasa ia terus menjamin kualiti makanan sambil menerapkan langkah-langkah keselamatan baharu.”

MUY menyajikan nasi yang baharu dimasak di dalam mangkuk bersama makanan mengandungi protein seperti ayam panggang dan daging serta sayur-sayuran dan makanan kegemaran penduduk Colombia, buah plantains, karang merah dan chorizo.

Seorang pelanggan mengambil makanan yang dipesannya dari dalam sebuah kotak kecil menerusi skrin sentuh di restoran MUY. – AP
Pekerja MUY menyediakan makanan yang dipesan pelanggan. . – AP

Syarikat itu telah menggunakan skrin sentuh sejak ia ditubuhkan pada 2018 dan berkata ia merancang untuk beralih ke kedai tanpa sentuh walaupun wabak tidak lagi merebak.

“Teknologi ini membantu kami untuk menyajikan makanan dengan lebih pantas dan ia menyenangkan pelanggan untuk membuat pilihan makanan sendiri,” kata CEO syarikat, Jose Guillermo Calderon. Dia menjelaskan bahawa komputer telah mengumpul data mengenai apa yang dipesan oleh pelanggan supaya jika mereka datang kembali ke kedai, makanan kegemaran mereka akan terpapar di atas skrin.

Mesin tersebut menjejak berapa banyak bahan-bahan yang telah diminta oleh pelanggan, membantu syarikat untuk mengelakkan pembelian berlebihan daripada yang diperlukan.

“Restoran biasa selalunya membuang kira-kira 30 peratus makanan,” kata Calderon. “Kami telah memotong angka tersebut kepada 2.7 peratus, yang mana masih dianggap cukup besar tetapi ia cukup sedikit berbanding dengan industri yang lain.”

Restoran automatik bermula pada akhir abad ke-19 dan awal 20, ketika para pengusaha di Jerman dan Amerika Syarikat (AS) membina restoran yang dikenali sebagai kedai automatik yang menjual makanan dalam mesin layan diri menggunakan wang syiling. Tetapi kedai tersebut mula ditutup pada tahun 1980an di AS.

Tetapi beberapa buah restoran kekal bertahan di Belanda dan sebuah restoran yang mempunyai sistem tanpa bersentuhan yang sama telah dibuka di ibu kota Argentina, Buenos Aires pada tahun 2018.

Usaha baharu untuk melancarkan restoran automatik menggunakan skrin sentuh di AS telah membuahkan sedikit hasil. Spyce, sebuah restoran di Boston, di mana robot-robot yang memasak makanan telah ditutup pada November lalu untuk mengubah menu hidangannya dan sejak itu ia masih belum dibuka semula, Eatsa, yang dilancarkan di San Francisco pada tahun 2015, telah menutup cawangannya tahun lalu, mengubah namanya dan kini menumpukan kepada mengembangkan perisian.

MUY cuba untuk membiasakan diri dengan pandemik dengan memudahkan pelanggan untuk memesan makanan dari rumah menerusi aplikasi. Ia juga cuba untuk mengekalkan harga yang rendah dengan mengupah tukang masak untuk menyediakan makanan dan tidak membuat pelaburan dalam robot-robot. Calderon berkata rangkaiannya menjual kira-kira AS$1 juta sebulan dengan lebih dari 30 lokasi, dengan jualan sudah pulih ke tahap pra pandemik. Harga hidangan bermula pada sekitar AS$2.20.

“Ia sangat mampu milik,” kata Dayana Briceno, seorang pakar kecantikan yang singgah ke kedai itu untuk membeli hidangan tengah hari. “Dan ia memberikan saya masa untuk menyambung semula tugasan saya dengan cepat.”

MUY turut berharap untuk menampilkan dirinya sebagai lokasi bio-selamat. Seorang pekerja yang menunggu di pintu masuk dengan menyediakan gel sanitasi dan papan skrin disembur dengan semburan pembasmi kuman setiap kali pelanggan menyentuhnya. – AP