Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Revolusi budaya kerja di Jepun

    FUJISAWA, JEPUN – Ditugaskan bekerja jauh dari tempat tinggalnya di konglomerat Jepun Hitachi, bapa kepada dua orang anak, Tsutomu Kojima benar-benar ‘rasa kesunyian’ sehingga dia mula bekerja secara dalam talian semasa pandemik meletus untuk kali pertamanya.

    Wabak COVID telah menjejas rutin harian pejabat di seluruh dunia, tetapi di Jepun – di mana waktu kerja yang panjang serta kebergantungan pada fail kertas, mesin faks dan cap dakwat telah lama menjadi satu norma – sesetengah orang berkata satu perubahan amat diperlukan.

    Sebelum pandemik, hanya sembilan peratus daripada tenaga kerja di Jepun yang pernah bekerja dari rumah, berbanding dengan 32 peratus di Amerika Syarikat dan 22 peratus di Jerman, menurut firma pakar runding yang berpangkalan di Tokyo, Institut Penyelidikan Nomura.

    Namun satu revolusi telah pun tercetus dalam budaya perniagaan yang ketat di negara itu, dengan firma berusaha mendigitalkan operasi serta menawarkan lebih banyak kefleksibelan kepada kakitangan yang sebelum ini dijangka kerja sehingga lewat malam, minum bersama bos dan menerima pemindahan kerja di kawasan terpencil.

    Kojima biasa tinggal sendirian di tempat penginapan yang disediakan oleh Hitachi berhampiran Tokyo, perjalanan yang mengambil masa satu setengah jam menggunakan kereta api berkelajuan tinggi dari rumah keluarganya di Nagoya.

    Kazuki dan Shizuka Kimura berehat di teres rumah mereka di Fujisawa. – AFP
    Shizuka Kimura bekerja di rumahnya di Fujisawa. – AFP

    Kazuki Kimura (kanan) dan isteri Shizuka Kimura bermain piano dan biola di rumah mereka di Fujisawa, wilayah Kanagawa. – AFP

    Pada masa itu, dia hanya akan pulang dua kali dalam sebulan, namun sekarang bapa berusia 44 tahun itu bekerja sepenuhnya dari rumah, dan berkata dia lebih produktif berbanding kerja di pejabat dan hubungan dengan dua anak perempuan remajanya semakin rapat.

    “Saya mempunyai lebih banyak masa untuk membantu mereka dalam pembelajaran mereka. Anak perempuan bongsu saya memberitahu saya dia berharap keadaan akan kekal seperti ini,” beritahu Kojima kepada AFP.

    “Sebelum ini, saya benar-benar rasa kesunyian di Tokyo,” ujar Kojima, tetapi dia menyedari sejak itu bahawa ‘keseimbangan sebenar dalam hidup bermakna tidak berputus asa demi keluarga.”

    Hampir satu pertiga daripada pekerjaan di Jepun dilakukan secara dalam talian semasa gelombang pertama COVID pada musim bunga 2020, menurut Pusat Produktiviti Jepun, walaupun kerajaan tidak pernah mengenakan perintah berkurung yang ketat di rumah.

    Kadar tersebut telah menurun kepada 20 peratus sejak itu, akan tetapi ia masih jauh lebih tinggi berbanding sebelum pandemik, menurut tinjauan yang dijalankan setiap suku tahun oleh pertubuhan bukan keuntungan itu.

    Untuk menggalakkan kerja dari rumah, kerajaan dan beberapa syarikat berusaha untuk menghentikan penggunaan cap dakwat secara berperingkat yang digunakan untuk mengesahkan dokumen, serta mesin faks yang digunakan secara meluas di pejabat.

    Sering kali di Jepun, ‘perniagaan perlu dilakukan secara fizikal, di atas kertas,’ tabiat yang wujud sejak tahun 1970an dan 80an, apabila ekonomi Jepun sedang berkembang pesat, kata Hiroshi Ono, profesor di Universiti Hitotsubashi yang pakar dalam sumber manusia.

    “Salah satu perkara yang telah dilakukan oleh COVID adalah ia berjaya merobohkan sekatan tersebut: kerja tidak perlu dilakukan di pejabat, lelaki boleh bekerja di rumah,” beritahunya kepada AFP.

    Syarikat-syarikat sedar bahawa cara bekerja baharu boleh menjadi lebih cekap, tambah beliau.

    “Sebelum COVID, amat penting untuk pekerja menunjukkan bahawa mereka bekerja keras, dan bukan sekadar menghasilkan prestasi yang baik.”

    Mencerminkan trend tersebut di tempat lain, penduduk juga telah meninggalkan bandar besar.

    Sejumlah besar ibu pejabat syarikat telah berpindah keluar dari Tokyo pada tahun lalu, menurut Teikoku Databank, sementara populasi di ibu negara merosot buat pertama kalinya dalam 26 tahun.

    Di antara mereka yang telah berpindah ialah Kazuki dan Shizuka Kimura, yang meninggalkan pangsapuri mereka yang sesak di Teikoku dan berpindah ke rumah yang dibina khas berdekatan dengan pinggir laut.

    Pasangan suami isteri itu kini sebahagian besarnya melakukan kerja mereka dalam bidang komunikasi dan pemasaran secara maya dari Fujisawa, barat daya ibu negara, setelah bergelut untuk bekerja dari rumah di Tokyo.

    “Pandemik COVID yang telah mendorong kami membuat keputusan ini,” kata Kazuki Kimura, yang biasa mencari tempat lain untuk mengadakan mesyuarat – di rumah ibu bapanya atau di kafe, kotak-kotak kerja didirikan di stesen kereta api, malah di pondok karaoke.

    “Ada kalanya awda boleh mendengar nyanyian daripada pondok bersebelahan, yang menjadikannya sukar untuk menumpu pada kerja,” ujar lelaki berusia 33 tahun itu, yang kini sedang belajar untuk bermain luncur air.

    Shizuka Kimura, 29, fikir ‘semakin ramai orang kini mengutamakan kesejahteraan mereka, dan bukannya pekerjaan mereka,’ tetapi mempersoalkan bagaimana keadaan akan berubah pada skala besar-besaran.

    Ia adalah satu isu yang dikongsi oleh Hiromi Murata, seorang pakar di Institut Rekrut Pekerja, yang berkata syarikat lebih kecil mungkin lebih perlahan untuk menyesuaikan diri kepada gaya kerja baharu berbanding firma besar seperti Hitachi, Panasonic atau syarikat gergasi telekom.

    Kerja secara dalam talian juga boleh menimbulkan masalah apabila melatih rekrut baharu, kerana ‘awda belajar semasa bekerja,’ kata Murata.

    “Sebelum ini, adalah penting untuk berjumpa di pejabat…setiap perniagaan mesti mencari satu keseimbangan baharu, dalam cara dan masa mereka sendiri.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...