TERDAPAT beberapa buah taman tema di seluruh dunia yang bakal memperkenalkan pelbagai tarikan terbaru sempena cuti musim panas dan musim bunga yang akan datang.
Justeru, sekiranya anda merancang untuk melancong dan bercuti bagi meluangkan masa bersama keluarga di tahun 2018 ini berikut adalah beberapa tarikan terbaru yang bakal diperkenalkan di beberapa buah taman tema terkemuka pada tahun ini.
Rata-rata kebanyakan tarikan terbaru ini adalah idea yang diadaptasi daripada kisah dan karakter yang ditampilkan dalam filem-filem popular dan ia telah cuba direalisasikan bagi memberikan pengalaman menarik yang bakal dialami oleh para pengunjung sewaktu berpeluang untuk mengunjungi ke pelbagai tarikan yang sangat menarik ini.
Salah satu tarikan terbaru yang paling dinantikan adalah Toy Story Land yang dijangka bakal dibuka pada awal musim panas nanti di Walt Disney World Resort Hollywood Studios di pinggir Orlando, Florida.
Tarikan terbaru yang dilengkapi dengan restoran itu dibina di atas tanah berkeluasan 11 ekar di mana ia akan menampilkan tema permainan berdasarkan kepada karakter-karakter di dalam siri filem Toy Story.



Antara yang menarik ditampilkan dalam taman tema ini adalah roller coaster Slinky Dog Dash, Woody’s Lunch Box yang menawarkan minuman soda terbaru dan Swirling Saucers yang merupakan sebuah permainan terbaru di mana ia membolehkan pengunjungnya untuk menaiki piring terbang ibarat seperti makhluk asing.
Manakala Toy Story Mania juga turut diperbesarkan bagi memberikan laluan trek ketiga pada gelanggang perlumbaan tersebut.
“Kami telah menerima ratusan tempahan dari pelanggan yang berhasrat untuk mengunjungi Toy Story Land bersama keluarga pada cuti musim panas 2018 nanti,” jelas Greg Antonelle, perancang percutian Disney di Mickey Travels. Universal Orlando Resort pula bakal membuka tarikan terbaru pada musim bunga nanti di mana bakal menampilkan himpunan kereta dan muzik yang diilhamkan dari siri filem Fast & Furious.
Para pengunjung akan berpeluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan kereta-kereta yang ditampilkan dalam filem tersebut di mana rata-rata ianya adalah sangat mengagumkan sekaligus membuatkan mereka terpesona.
Di samping itu, Universal turut bakal membuka hotel keenam yang dinamakan sebagai Aventura menjelang Ogos depan.
Hotel tersebut memiliki 16 tingkat yang mempunyai rekabentuk kaca dilengkapi bersama dengan 600 bilik tetamu dan 13 bilik suite khas untuk kanak-kanak.
Manakala ruang barbeku juga turut disediakan d bahagian atas bumbung hotel tersebut.
Sementara Universal Studios Hollywood di Los Angeles, Teater Dreamworks di dalam kawasan taman tema tersebut akan membawakan pengunjung untuk mengembara merentasi dunia yang ditampilkan dalam siri filem animasi popular, Kung Fu Panda.
Tarikan terbaru tersebut akan menggunakan teknologi pencahayaan LED dan juga perkhidmatan projector yang bermutu tinggi di mana ia merupakan sejenis teknologi realiti luasan (Augmented Reality) bagi menampilkan imej 3D pada tahap yang lebih interaktif.


Taman Pengembaraan Disney California di Anaheim, California juga sedang giat melaksanakan projek renovasi pada salah sebuah tarikannya, Paradise Pier untuk ditransformasi menjadi Pixar Pier yang dijangka bakal dibuka pada musim panas nanti.
Antara permainan terbaru yang dijangka bakal berjaya mendapat sambutan adalah seperti Incredicoaster yang memiliki rekabentuk diadaptasi daripada karakter-karakter popular dalam siri animasi, The Incredible.
Dalam permainan tersebut, pengunjung akan berpeluang untuk mengalami sendiri detik cemas yang dirasakan oleh karakter dalam filem tersebut, menonton adegan dan mendengar susunan muzik yang ditampilkan dalam filem animasi tersebut.
Malah para pengunjung juga
setentunya akan berasa terpesona tatkala menyaksikan kesan khas yang ditampilkan dalam filem tersebut secara lebih dekat di mana ia merupakan salah satu strategi rangka promosi bagi sekuel filem tersebut, The Incredibles 2 yang bakal ditayangkan pada Jun depan.
Pengunjung setentunya akan berasa teruja untuk mencuba dan menaiki roller coaster tertinggi, terpantas dan paling curam yang ditampilkan pada The Time Traveler yang bakal dibuka di Silver Dollar City di Branson.
Melalui roller coaster itu, pengunjung yang berkesempatan untuk menaikinya akan melalui proses putaran selama tiga kali pada tahap kelajuan yang mencapai sehingga 81 kilometer per jam dan setentunya teriakan cemas dan ceria juga dapat kedengaran tatkala mereka berada pada posisi menegak 90 darjah.
Selain itu, SeaWorld di Orlando juga akan memperkenalkan sebuah permainan dengan menaiki rakit bulat yang berputar di atas permukaan air dalam Infinity Falls .
Permainan tersebut akan memberikan sebuah pengalaman menarik di kalangan pengunjung yang berpeluang untuk menaikinya kerana mereka akan merasakan seperti merentasi kawasan sungai dan adrenalin mereka setentunya lebih gementar tatkala menuruni kawasan curam pada tahap ketinggian 12 meter ibarat seperti menuruni kawasan air terjun.


Di samping itu, pengunjung juga turut melalui kawasan hutan hujan di mana ia akan memberikan peluang untuk memberi pengetahuan akan kepentingan aspek pemuliharaan secara lebih interaktif.
Battle For Fire Action VR pula menjadi tarikan terbaru yang bakal dibuka pada musim bunga di Busch Gardens, Williamsburg. Ia merupakan sebuah permainan yang berasaskan kepada gerakan simulator dilengkapi bersama teknologi realiti maya (Virtual Reality) yang bermutu tinggi.
Dalam permainan tersebut, para pemain akan mengadaptasi kehidupan seorang pahlawan bernama Addie yang akan merentasi kembara di sebuah perkampungan di Ireland.
Electric Eel pula merupakan sebuah roller coaster yang cukup tinggi dan terpantas pernah ditampilkan di SeaWorld San Diego pada musim panas nanti.
Melalui permainan tersebut, pemain akan menaiki roller coaster berbentuk seperti belut elektrik yang bergerak pada tahap kelajuan 60 mph hanya dalam tempoh beberapa saat dan merentasi paras ketinggian 150 kaki sekaligus memberikan peluang untuk menikmati keindahan panorama menghala ke arah Mission Bay.
Skywarp pula merupakan roller coaster yang menampilkan struktur dua buah kereta yang kelihatan seperti berlumba di mana ia dipercayai bakal menjadi tarikan terbaru di Six Flags Discovery Kingdom di Vallejo, California apabila ia dibuka pada musim panas nanti.
Musim bunga nanti setentunya akan kelihatan lebih ceria apabila roller coaster yang dilengkapi bersama dengan teknologi VR khusus untuk kanak-kanak bakal dibuka di Legoland di Winter Haven, Florida.
Permainan yang dikenali sebagai The Great Lego Race VR Coaster itu bakal menawarkan kembara menarik dilengkapi dengan kesan khas yang tersendiri. – AP