Rexton kini dengan waranti 5 tahun

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Kereta SsangYong Rexton yang diiktiraf sebagai kereta empat roda ‘nilai terbaik’ oleh majalah pemotoran 4X4 UK buat tahun ketiga berturut-turut, kini mempunyai waranti selama lima tahun atau 100,000km.

Menurut kenyataan, SUV besar SsangYong itu bukan sahaja mempunyai harga yang berpatutan, tetapi ia juga serba boleh dengan ruang dalaman yang luar biasa dan mempunyai kemampuan di atas jalan atau off-road.

Dilancarkan di seluruh dunia pada 2017, SUV kemegahan SsangYong ini mempunyai ciri-ciri terkini, dalam reka bentuk, kualiti, keselamatan dan teknologi bagi jenama tersebut.

Model terbaharu Rexton dikuasai enjin petrol Euro 6 turbo 2.0 liter yang menjana kuasa maksimum 220hp dan tork 350Nm, dengan transmisi automatik enam kelajuan dan mempunyai kapasiti menunda seberat 3.5 tan, sesuai bagi menunda treler.

Sangat bergaya dari dalaman hingga luaran, kereta baharu ini mempunyai penampilan yang anggun, dengan dalaman yang kontemporari.

Dibangunkan menggunakan body-on-frame yang moden dan sangat kuat, ia adalah sangat selamat dan dilengkapi dengan rangkaian alat keselamatan elektronik dan sehingga sembilan beg udara. Rexton dianugerahkan penilaian keselamatan lima bintang penuh daripada NCAP Korea.

Dengan ketersambungan dan teknologi terkini, Rexton menampilkan Apple CarPlay dan Google Android Auto, skrin HD 9.2” dan pemantauan 3D around-view.

Dalam pada itu, TCY Motors selaku pengedar kenderaan jenama SsangYong telah melancarkan laman sesawang baharu SsangYong Brunei, di mana orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran atau promosi yang berkaitan jenama berkenaan.

SsangYong Rexton baharu menampilkan ciri-ciri teknologi seperti Apple CarPlay dan Google Android Auto, skrin HD berukuran 9.2” dan pemantauan 3D around-view. – Gambar serahan TCY Motors