Reyna bantu BVB benam Gladbach

DORTMUND, 20 SEPT – Pemain tengah Amerika Syarikat (AS), Gio Reyna menjaringkan gol Bundesliga pertamanya kelmarin untuk membantu Borussia Dortmund mengalahkan Borussia Monchengaldbach 3-0 dalam perlawanan pembukaan mereka.

Pemain berusia 17 tahun, Reyna bermain kedudukan satu-dua dengan Jude Bellingham, 17, dan membuat percubaan melepasi penjaga gol Gladbach, Yann Sommer pada minit ke 35 perlawanan.

“Kami mempunyai ramai pemain muda dan keseimbangan yang hebat dengan pemain senior. Ia adalah perlawanan yang sangat menyeronokkan,” kata Reyna.

Kira-kira 9,300 orang penonton menghadiri perlawanan itu – kehadiran penyokong Dortmund buat kali pertama sejak sekatan koronavirus yang bermula pada Mac.

“Sangat hebat untuk menyaksikan peminat kembali semula dan menjaringkan gol membuatkannya lebih bermakna,” beritahu Reyna kepada Sky TV. “Permulaan yang hebat”.

Gol tersebut merupakan gol pertama Reyna dalam 16 penampilan liga buat Dortmund. Dia melakukan penampilan sebagai pemain ganti ketika menentang Ausburg pada 18 Januari, apabila dia menjadi pemain termuda AS untuk bermain di Bundesliga, ketika berusia 17 tahun, 2 bulan dan lima hari.

Bellingham menyertai kelab dari Birmingham pada musim ini untuk menambah nama pemain muda dalam pasukan termasuk pemain muda berusia 20 tahun, Jadon Sancho dan Erling Haaland. Reyna turut berasa teruja dengan ketibaan Bellingham. – AP