Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rezab minyak negara bertambah

    Oleh Normazlina M.D

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Untuk memastikan khazanah hidrokarbon negara dimajukan secara berdaya tahan, pada tahun ini pengeluaran minyak negara dijangkakan sebanyak 134,000 tong sehari berbanding 139,000 tong sehari pada 2016.

    Penurunan ini antara lain disebabkan oleh kemerosotan semula jadi, penangguhan (deferment) serta komitmen negara kepada OPEC, jelas Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar (gambar bawah) semasa mukadimah ringkas mengenai aktiviti-aktiviti di bawah Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan pada hari ketiga Majlis Mesyuarat Negara bersidang hari ini. Menurut beliau, pada tahun lalu sektor minyak dan gas berupaya meningkatkan jumlah sumber dan rezab minyak sebanyak 94 juta tong, memanjang jangka hayat rezab minyak dan gas kepada 53 tahun.

    “Peranan utama sektor tenaga ialah untuk memastikan bahawa sumber hidrokarbon di negara ini dibangunkan secara mapan,” jelas beliau.

    Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai projek solar berskala besar yang akan dikendalikan di Daerah Temburong bagi menggantikan jana kuasa Stesen Belingus yang beroperasi menggunakan diesel. Menurutnya, projek berkenaan akan dijangka siap pada suku pertama 2018 dan akan memberikan penjimatan sebanyak 23 peratus pada fasa pertama.

    Dalam hal perkhidmatan elektrik, beberapa inisiatif telah dibuat dalam meningkatkan kebolehpercayaan tenaga elektrik termasuk pengurangan 67 peratus gangguan elektrik sejak 2010. Sejak pengenalan reformasi tarif bagi perumahan pada 2011, penggunaan tenaga telah menurun sebanyak 12 peratus.

    Amalan penjimatan elektrik juga diteruskan yang mana bangunan-bangunan kerajaan telah mencapai penjimatan sebanyak $16 juta setahun. Tunggakan elektrik juga semakin menurun sebanyak 13 peratus sejak November 2015, jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Beliau juga memaklumkan bahawa hala tuju operasi bagi Jabatan Perkhidmatan Elektrik adalah bagi sektor penjanaan kuasa diswastakan melalui pemindahan aset ke Darussalam Assets dalam masa yang terdekat.

    Yang Berhormat Pehin juga menggariskan aktiviti-aktiviti lain dalam sektor perindustrian yang mengemukakan isu pelaburan asing yang memainkan peranan penting dengan penjanaan kesan limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan bagi PMKS tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda