Rezeki pengusaha kedai jahit

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri, kelihatan tukang-tukang jahit lelaki dan wanita sibuk dengan kerja masing-masing untuk menyiapkan pakaian yang telah ditempah untuk dipakai bagi menyambut hari yang meriah itu.

Seperti lazimnya, musim perayaan yang bakal menjelang merupakan musim yang sibuk bagi kedai-kedai jahit di mana mereka bekerja dari awal pagi hingga lewat malam untuk menyiapkan baju-baju yang ditempah dari awal tahun bagi pelanggan-pelanggan mereka sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan Media Permata ke kedai-kedai jahit mendapati bahawa kedai-kedai jahit sedang sibuk memotong, menyukat, menjahit dan membuat pengubah suaian terakhir bagi baju-baju yang ditempah.

Media Permata yang menemu bual seorang pengusaha kedai jahit di Kiulap, Lily Ngu berkata bahawa mereka sehingga hari ini terus berusaha untuk menyiapkan baju-baju yang ditempah supaya ia dapat diambil oleh pelanggan mereka sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Beliau menerangkan bahawa tempahan bagi baju-baju kurung untuk Hari Raya setiap tahun adalah sungguh menggalakkan dan harga bagi baju-baju yang dijahit olehnya masih lagi sama dengan harga seperti tahun lalu.

Lily ketika berusaha menyiapkan baju-baju yang ditempah bagi pelanggan untuk dipakai semasa Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Pekerja kedai jahit bekerja dengan tekun dan tidak mengenal penat lelah untuk menyiapkan baju-baju yang ditempah sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Meskipun tempahan bagi baju untuk musim perayaan yang bakal menjelang telah ditutup, tetapi jelasnya beliau masih menerima tempahan daripada pelanggan-pelanggan setianya.

Beliau juga menyatakan bahawa tahun ini menyaksikan jumlah tempahan baju Hari Raya yang meningkat dari tahun sebelumnya, di mana berbeza dari tahun-tahun lalu, beliau telah mula menerima tempahan baju raya untuk musim perayaan yang bakal menjelang pada lewat 2018.

Bagi memenuhi permintaan dan tempahan daripada pelanggan yang inginkan baju mereka untuk disiapkan sebelum Hari Raya, Lily bersama pekerja-pekerjanya bekerja dari awal pagi hingga lewat malam setiap hari untuk menyiapkan kerja-kerja mereka.

Menurut Lily lagi, musim perayaan merupakan musim yang paling sibuk bagi mereka kerana setiap pelanggan menginginkan baju-baju mereka siap tepat pada waktu dan sempurna dari segi potongan serta jahitannya.

Mengulas mengenai pilihan fesyen baju yang ditempah, Lily berkata “Pada musim perayaan ini, hiasan bunga dengan manik dan pelbagai rekaan yang menarik menjadi pilihan kebanyakan pelanggan kami dan untuk menyiapkan sepasang baju yang mempunyai rekaan bunga dengan manik yang unik mengambil masa yang lama tetapi saya yakin bahawa kami dapat menyiapkan semua baju yang ditempah.”

Sementara itu untuk memudahkan dan mempercepatkan kerja-kerja menyiapkan baju yang ditempah, setiap pekerja di kedai jahit itu menurut Lily mempunyai tugasan masing-masing iaitu ada yang memotong kain, ada yang menjahit, ada yang memasang manik dan ada yang menyiapkan sepenuhnya baju yang ditempah itu.

Mengulas mengenai keletihan yang dirasai pada musim perayaan, Lily sambil tersenyum berkata bahawa kepuasan yang diperoleh daripada menerima tempahan dan bayaran daripada menyiapkan baju-baju adalah cukup berbaloi untuk mengubati setiap perasaan penat lelah mereka.