Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Bagaikan durian runtuh, itulah ungkapan yang boleh digunakan bagi menggambarkan pendapatan bagi kedai-kedai jahit menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri di mana kelihatan tukang-tukang jahit lelaki dan wanita sibuk dengan kerja masing-masing untuk menyiapkan pakaian pelanggan yang telah ditempah untuk dipakai bagi menyambut hari yang meriah itu.
Dalam menanti detik Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba, kumpulan pekerja kedai jahit lelaki dan wanita pula sedang berusaha dan bekerja dari awal pagi hingga lewat malam, untuk menyiapkan baju-baju yang ditempah dari awal tahun bagi pelanggan-pelanggan mereka sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Media Permata ke kedai-kedai jahit mendapati bahawa kedai-kedai jahit sedang sibuk memotong, menyukat, menjahit dan membuat pengubah suaian terakhir bagi baju-baju yang ditempah.
Media Permata ketika menemu bual seorang pengusaha kedai jahit di Kiulap, Lily Ngu berkata bahawa mereka sehingga hari ini terus berusaha untuk menyiapkan baju-baju yang ditempah supaya ia dapat diambil oleh pelanggan mereka kira-kira seminggu sebelum Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau menerangkan bahawa tempahan bagi baju-baju kurung untuk Hari Raya setiap tahun adalah sungguh menggalakkan dan pada tahun ini, beliau terus menerima tempahan baju Hari Raya sehingga April. Di samping itu, tambahnya, beliau masih menerima tempahan daripada pelanggan-pelanggan setianya.

Beliau juga menyatakan bahawa tahun ini menyaksikan jumlah tempahan baju Hari Raya yang meningkat dari tahun sebelumnya.
Bagi memenuhi permintaan dan tempahan daripada pelanggan yang inginkan baju mereka untuk siap sebelum Hari Raya, Lily bersama pekerja-pekerjanya bekerja dari awal pagi hingga lewat malam setiap hari untuk menyiapkan tempahan mereka.
Menurut Lily lagi, musim perayaan merupakan musim yang paling sibuk bagi mereka kerana setiap pelanggan menginginkan baju-baju mereka siap tepat pada waktu dan sempurna daripada segi potongan serta jahitannya.
Mengulas mengenai pilihan fesyen baju yang ditempah, Lily berkata “Pada musim perayaan ini, hiasan manik yang lebih kompleks menjadi pilihan banyak pelanggan kami dan untuk menyiapkan sepasang baju yang mempunyai rekaan manik yang unik mengambil masa yang lama tetapi saya yakin bahawa kami dapat menyiapkan semua baju yang ditempah.”
Sementara itu untuk memudahkan dan mempercepatkan kerja-kerja menyiapkan baju yang ditempah, setiap pekerja di kedai jahit itu menurut Lily mempunyai tugasan masing-masing iaitu ada yang memotong kain, ada yang menjahit, ada yang memasangkan manik dan ada yang menyiapkan sepenuhnya baju yang ditempah itu.
Mengulas mengenai keletihan yang dirasai pada musim perayaan, Lily sambil tersenyum berkata bahawa kepuasan yang diperoleh daripada menerima tempahan dan bayaran menyiapkan baju-baju adalah cukup berbaloi untuk mengubati setiap perasaan penat lelah mereka.