Rezeki peniaga ‘nasi pagi’ masih tidak putus

KUALA KRAI – Sudah menjadi kelaziman khususnya rakyat Kelantan apabila tiba waktu sarapan mereka akan mencari pelbagai jenis ‘nasi pagi’ sebagai pembuka selera seperti nasi kerabu, nasi lemak, nasi dagang, nasi gulai ayam dan sebagainya.

Ketika beberapa kawasan di negeri itu dilanda banjir dan hujan lebat baru-baru ini, semangat beberapa peniaga di sekitar Kuala Krai untuk terus membuka kedai mereka menjual aneka rasa ‘nasi pagi’ kepada pelanggan terus berkobar.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata peniaga ‘nasi pagi’ di sekitar jajahan ini tidak menang tangan melayan kehadiran pelanggan seawal pukul 6:30 pagi.

Seorang peniaga yang ditemui di Kampung Tengah, Nor Zakira Imana Nor Aziz, 30, berkata perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lepas semakin mendapat permintaan ramai walaupun pada musim tengkujuh.

“Apabila saya bangun tidur pukul 4 pagi, perkara pertama yang saya fikir hujan atau tidak sebab sekiranya hujan saya boleh membuat anggaran lauk dan nasi yang akan dijual supaya tidak membazir.

“Walaupun jualan tidaklah serancak ketika musim cuaca panas, tetapi rezeki jualan saya tidak pernah putus, sentiasa didatangi pelanggan untuk membeli pelbagai jenis nasi pagi kegemaran mereka,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Zakira Imana yang dibantu suaminya Hafizan Mohd Noor, 39, berkata dia akan sentiasa memastikan makanan yang disediakan dan kawasan sekeliling bersih serta tidak kotor untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.

“Biasalah bila musim hujan ini, persekitaran kedai akan berbeza sedikit sebab pelanggan yang datang ada yang menggunakan payung, pijak tanah yang berselut dan sebagainya.

“Saya amat memahami situasi ini tetapi saya akan pastikan keadaan kedai saya ini sentiasa bersih dan tidak kotor,” katanya yang menambah keuntungan jualan mencecah sekitar RM200 sehari.

Selain itu, bagi peniaga nasi pagi di Kampung Kenor Zuraidah Ismail, 50, pula dia sangat bersyukur walaupun musim hujan, gerai yang diberi nama ibunya Siti Khadijah Dollah masih dikunjungi pelanggan yang setia meluangkan masa untuk makan dan minum di gerainya.

“Jika bukan musim tengkujuh saya akan untung lebih RM100 sehari tetapi apabila musim hujan ini keuntungan saya akan mengalami sedikit pengurangan.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur sebab semua nasi, lauk-pauk dan kuih-muih yang dijual habis dibeli pelanggan,” katanya yang telah membuka gerai nasi pagi itu lebih 10 tahun. – Bernama