RHB anjur pejabat terbuka TBC

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), Kumpulan Perbankan RHB telah mengadakan pejabat terbuka di Restoran Horizon, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Mengalu-alukan kedatangan para jemputan khas serta pelanggan pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif cawangan Operasi Brunei, Haji Ishak Othman.

Majlis tahunan berkenaan diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kakitangan bersama para pelanggan setia di samping menunjukkan penghargaan kepada para pelanggan yang telah memberikan sokongan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan RHB.

Pejabat terbuka RHB menyajikan pelbagai juadah bagi para jemputan dan pelanggan yang hadir.

Haji Ishak ketika ditemui Media Permata berkata, acara berkenaan adalah untuk memberi penghargaan kepada para pelanggan dan rakan kongsi yang telah memberi sokongan padu selama ini.

RHB Brunei ditubuhkan pada 1965 dan sejak penubuhannya sehingga 15 Disember 1996, bank itu dikenali sebagai United Malayan Banking Corporation Berhad (UMBC).

Pada 16 Disember 1996, bank berkenaan dinamakan semula sebagai Sime Bank Berhad, mencerminkan perubahan pemilikan di bawah Kumpulan Sime Darby Malaysia, dan pada 13 Mei 1999, diberi nama menjadi RHB Bank.

Lebih kurang 150 orang pelanggan dan jemputan khas hadir memeriahkan acara berkenaan.

Haji Ishak bergambar ramai bersama tetamu khas pada majlis pejabat terbuka TBC RHB.
Antara yang hadir memeriahkan majlis pejabat terbuka RHB.