Riadah Berbasikal Hari Belia Kebangsaan meriah

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Semangat perpaduan antara segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus menyerlah, menceriakan dan memeriahkan lagi suasana sekitar Bandar Seri Begawan apabila ribuan peminat dan penggemar sukan berbasikal berkumpul dari awal pagi lagi untuk sama-sama memanifestasikan rasa cinta kepada raja dan negara dengan menyertai Acara Riadah Berbasikal Hari Belia Kebangsaan 2018.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal Hari Belia Kebangsaan 2018 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.

Keberangkatan Baginda Sultan serta kerabat diraja di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Acara riadah berbasikal itu turut disertai oleh menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para jemputan, para belia dan orang ramai termasuk warga asing.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min berkenan menyertai Riadah Berbasikal Hari Belia Kebangsaan 2018 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min berkenan berangkat menyertai Kayuhan Hari Belia Kebangsaan 2018.
Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah daripada orang ramai.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat bagi menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan Festival Belia yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama orang ramai.

YTM Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan menyertai Riadah Berbasikal Hari Belia Kebangsaan 2018 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Upacara pelepasan riadah berbasikal bermula sejurus hon udara dibunyikan di mana Baginda Sultan mendahului riadah berbasikal sejauh 11.490 kilometer mengelilingi pusat bandar dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Haji Basir, Jalan Sultan dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lintas lalu oleh lebih 50 orang peserta belia berbasikal yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi, Pusat Pembangunan Belia, Alumni Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun dan belia-belia perseorangan.

Seterusnya, Baginda berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Selain riadah berbasikal, Baginda Sultan serta kerabat diraja turut menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan Festival Belia yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Festival Belia yang dikelolakan oleh golongan belia dengan membawa tema ‘Belia Sayang Raja’ merupakan salah satu cara manifestasi rasa cinta belia kepada raja dan juga sayang kepada negara.

Dalam festival itu, lebih 35 jenis aktiviti yang menarik telah diadakan mengikut zon-zon yang disediakan iaitu zon kreativiti, zon sukan dan zon kanak-kanak.

Orang ramai termasuk golongan belia bersama-sama menyertai Acara Riadah Berbasikal Hari Belia Kebangsaan 2018 di ibu negara, kelmarin.

Para belia tidak melepaskan peluang untuk sama-sama hadir bagi memeriahkan lagi Acara Riadah Berbasikal Hari Belia Kebangsaan 2018.

Antara aktiviti-aktiviti itu ialah Klinik Al-Fatihah, permainan gulingtangan, nyanyian daripada UBD Koir, persembahan tarian tradisional, aktiviti pendidikan kanak-kanak, permainan kanak-kanak, grafiti, pertanian, amazing race, melukis muka, Pameran Brunei Motocross, permainan ragbi, silat, persembahan parkour, kalistenik dan pameran-pameran daripada alumni-alumni belia, pertubuhan bukan kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi dan individu.

Para peniaga kecil dan sederhana yang sudah seperti biasanya berniaga di Bandarku Ceria setentunya tidak melepaskan peluang untuk berjaja pada hari tersebut.

Riadah Berbasikal Hari Belia Kebangsaan 2018 merupakan acara yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama-sama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perhubungan serta penglibatan semua kementerian-kementerian yang lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, memperlihatkan sukan diberi pengiktirafan, penghormatan dan penggalakan yang sama penting dengan sektor sosial yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan dan kestabilan yang berterusan khususnya sukan berbasikal yang kini diiktiraf sebagai Hobi Negara.

Kejayaannya mencerminkan bagaimana pendekatan keseluruhan negara (Whole of Nation Approach) yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan adalah sangat efektif dan berkesan, apatah lagi jika diguna pakai dalam menjayakan program-program pembangunan negara.

Riadah Berbasikal itu merupakan salah satu acara sampingan bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-13 yang telah disambut pada 1 Ogos lalu.

Ia juga salah sebuah platform untuk mengeratkan lagi silaturahim di kalangan belia di samping menggalakkan para belia untuk mengikuti acara sukan yang diminati dan menjauhi aktiviti terlarang serta mempraktikkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat terutama dalam golongan belia yang akan menjadi peneraju pada masa akan datang.