Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Bersempena Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) ke-13, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) hari ini mengadakan acara riadah berjalan kaki di Dewan Melati, Pusat Agribisnes Rimba.
Ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemimpin-pemimpin di KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pengusaha-pengusaha industri pertanian dan perikanan, di samping menggalakkan rakyat dan penduduk negara ini mengamalkan cara hidup yang sihat.
Hadir bagi menyempurnakan pelepasan dan sama-sama menyertai aktiviti itu ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di KSSUP, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan aktiviti memanaskan badan dan diteruskan dengan pelepasan acara berjalan kaki sejauh 3 kilometer yang disertai oleh para pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta orang awam.
