Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus dimeriahkan dengan tradisi kunjung-mengunjungi walaupun dalam normal baharu dengan menitikberatkan langkah-langkah penjagaan dan menghindari penularan wabak.
Dalam memeriahkan lebaran tahun ini, ahli Kumpulan Santai (Santai Group) sekali lagi mengadakan riadah di Bukti Pemaah, Bukti Silat Katok ‘B’ dan Bukit Dadap di Kampung Kilanas.
Riadah berhari raya berkenaan merupakan yang kedua diadakan di mana pada tahun lalu ia menumpukan di Wasai Balik Kenanjong, Bukit Silat dan Bukit Kamsher di Kampung Serdang.
Rombongan riadah berhari raya di bukit berkenaan diketuai oleh Haji Yahya bin Haji Berudin yang mana idea ini telah mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Kumpulan Santai untuk mengadakannya tahun ini.
Antara lain tujuan riadah berhari raya berkenaan adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan pendaki bukti yang lain seterusnya mengambil kesempatan bermaaf-maafan dengan pendaki yang berkunjung di tempat riadah berkenaan sekali gus membuat kelainan dan menikmati suasana Hari Raya dalam suasana yang berbeza.

