Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menyertai HM The Sultan 77 Birthday Ride.
HM The Sultan 77 Birthday Ride yang dianjurkan buat kali ketiga oleh Persatuan Polo Diraja Brunei itu bermula di Jerudong Park Riding Club dan berakhir The Empire Brunei.
Keberangkatan Baginda selaku Penaung Diraja Persatuan Polo Diraja Brunei dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong selaku Pengerusi Persatuan Polo Diraja Brunei.
Sejurus keberangkatan, Baginda Sultan berkenan menerima pesambah daripada Persatuan Polo Diraja Brunei.
Pada acara itu, Baginda berkenan mengepalai HM The Sultan 77 Birthday Ride dari Padang No.1, Jerudong Park Polo and Riding Club menuju Pantai Jerudong.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah selaku Presiden Persatuan Polo Diraja Brunei.
Tunggangan melalui kawasan Pasar Jerudong dan acara tersebut turut disertai pemain polo veteran persatuan berkenaan.
Baginda seterusnya berkenan menaiki kenderaan ATV menuju The Empire Brunei dan berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.
Baginda seterusnya dijunjung berangkat bagi majlis santap dan berkenan memotong kek sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-77 yang disembahkan oleh Persatuan Polo Diraja Brunei.