Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Orang ramai dialu-alukan untuk memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru serta beramal sambil beriadah dengan sama-sama mengambil bahagian dalam Kayuhan Basikal dan Larian Terima Kasih Cikgu bersempena Sambutan Hari Guru ke-27 2017 yang akan berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada 29 Oktober nanti.
Acara tersebut merupakan salah satu aktiviti dalam menyemarakkan lagi Sambutan Hari Guru ke-27 yang dihasratkan dapat menggalakkan penduduk di negara ini memiliki tubuh badan yang sihat sebagai sokongan kepada cara hidup yang sihat.
Di samping itu, ia juga diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pemimpin-pemimpin dalam Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan seluruh peringkat warga kedua-dua kementerian serta keluarga mereka.
Ia juga sebagai salah satu aktiviti ke arah menyokong usaha pihak kerajaan dalam melaksanakan Program Bandarku Ceria dan Hari Tanpa Kereta, jelas Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Haji Azis bin Haji Nayan selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kayuhan Basikal dan Larian Terima Kasih Cikgu, sempena Sambutan Hari Guru ke-27, 2017.
Kayuhan basikal dan larian itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Riadah Kayuhan Basikal Terima Kasih Cikgu (Fun Ride) sejauh 12 kilometer dan Riadah Larian Terima Kasih Cikgu (Fun Run) sejauh 4 kilometer, jelasnya lagi semasa sidang akhbar mengenai acara kayuhan basikal dan larian yang berlangsung di Bilik Muzakarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Lambak Kanan, hari ini.

Turut hadir semasa sidang akhbar berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Haji Eady Sardi bin PDDSDP Haji Abdul Razak, selaku Timbalan Pengerusi Bersama dan Ketua Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan, selaku Setiausaha Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kayuhan Basikal dan Larian Terima Kasih Cikgu.
“Acara tersebut dibukakan bagi semua peringkat pegawai dan kakitangan daripada jabatan/unit/bahagian termasuk sekolah-sekolah dan maktab-maktab dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama,” jelas Haji Azis lagi.
Beliau menambah bahawa penyertaan juga dibukakan kepada orang awam di mana setiap penyertaan dikehendaki mengisi borang penyertaan. Beliau turut mendedahkan bahawa pada acara Larian Terima Kasih Cikgu 2016, acara itu menyaksikan pendaftaran sebanyak kira-kira 9,000 peserta dan beliau berharap orang ramai akan turut serta sama-sama menjayakan acara kayuhan basikal dari larian itu nanti.
Haji Azis berkata “Semua peserta juga adalah dimestikan untuk membeli/ memakai baju kayuhan basikal yang disediakan serta dialu-alukan bagi pembelian baju Larian Terima Kasih Cikgu.”
Harga jualan bagi baju kayuhan basikal ialah $20, manakala bagi baju Larian Terima Kasih Cikgu lelaki dan wanita ialah $13. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai acara berkenaan mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan untuk memuat turun borang pendaftaran di www.moe.gov.bn. Pendaftaran acara kayuhan basikal dan larian itu mula dibukakan pada 20 September sehingga 14 Oktober iaitu semasa waktu bekerja bermula pukul 9 pagi hingga 3.30 petang dan pembayaran bolehlah dibuat di Jabatan Pendidikan Kokurikulum di keempat-empat daerah.
Borang yang lengkap diisi serta yuran pendaftaran hendak dikembalikan tidak lewat daripada 14 Oktober, di Jabatan Pendidikan Kokurikulum di keempat-empat daerah, di mana bagi Daerah Brunei dan Muara ialah di Jalan 10, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas, bagi Daerah Tutong di Bangunan Jabatan-jabatan Kerajaan, Daerah Tutong, bagi Daerah Belait di Banglo Kelas C, No.37, Simpang 37-35, Jalan Setia Negara, Kuala Belait dan bagi Daerah Temburong di PWD 18, Bangunan Bekas Asrama Sekolah Menengah Sultan Hassan, Pekan Bangar Lama.
Haji Azis menyatakan lagi bahawa kutipan derma turut diadakan sebagai salah satu projek amal di mana semasa acara itu nanti, kotak derma akan disediakan dan hasil kutipan derma yang diagihkan iaitu 50 peratus hasil kutipan akan didermakan kepada Tabung Kebajikan Kementerian Pendidikan, 20 peratus digunakan bagi membiayai acara-acara sukan sempena Sambutan Hari Guru ke-27, 2017 dan 30 peratus hasil kutipan didermakan kepada Persatuan Sindrom Down (ABLE). Beliau menjelaskan bahawa penyerahan dan pengagihan baju bagi acara berkenaan akan bermula pada 21 Oktober hingga 28 Oktober bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang di Jabatan Pendidikan Kokurikulum di keempat-empat daerah.
Bagi Daerah Brunei dan Muara sahaja, pengagihan dan penyerahan baju juga akan diadakan pada hari Jumaat dan Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang kecuali pada Jumaat ia bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 2 petang hingga 5.30 petang.