Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribery akan kembali semula

    BERLIN, 8 Mei – Franck Ribery berkata, hari ini, dia akan kembali semula ke Bayern Munich apabila kariernya sebagai pemain berakhir satu hari nanti.

    Pemain Perancis itu bersedia menamatkan kariernya selama 12 tahun di kelab itu sebaik musim ini berakhir.

    Ribery, 36, minggu lepas mengesahkan bahawa dia tidak akan menyambung kontrak di Bayern yang sekali gus menamatkan rekod perkhidmatannya bersama kelab gergasi Bundesliga itu.

    Dalam sidang akhbar yang berlangsung dalam suasana sedih itu di Munich, Ribery berkata, dia akan terus bermain untuk setahun atau dua tahun lagi sebelum kembali ke pangkuan Bayern dengan peranan berbeza selepas bersara.

    “Saya masih tidak tahu apa yang akan saya lakukan musim depan. Masih ada pilihan yang perlu dibuat. Saya akan bermain untuk setahun atau dua tahun lagi dan selepas itu, saya pasti 100 peratus akan kembali semula ke Munich. Kami telahpun berunding tentang tugas saya di kelab ini.

    “Kami masih mempunyai banyak masa tetapi apa yang penting ialah saya sentiasa berasakan di sini adalah rumah saya,” katanya.

    Ribery memberitahu, amat sukar untuknya melangkah kaki meninggalkan Bayern selepas 12 tahun perkhidmatannya.

    “Bukan mudah, saya menimba pengalaman di sini dan memenangi begitu banyak gelaran bersama Bayern. Ia masa yang cukup menakjubkan bagi saya dan juga keluarga. Saya tidak akan melupakannya,” jelas Ribery.

    Ribery, telah memenangi 22 gelaran bersama Bayern dan dijangka mencatat rekod kesembilan merangkul kejuaraan Bundesliga, musim ini, dalam perlawanan terakhir Bayern menentang Eintracht Frankfurt di Allianz Arena. – AFP

    Ribery meraikan jaringan ketiga ketika menentang Hannover 96 di Munich pada 4 Mei lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda