Ribery mula pasang impian

FLORENCE, 23 OGOS – Franck Ribery berkata dia menolak tawaran lumayan daripada kelab-kelab China dan Timur Tengah untuk bersama pasukan Serie A Fiorentina di Itali adalah kerana masih dahagakan kejayaan di Eropah.

Bekas pemain Perancis itu meninggalkan Bayern Munich sebagai ejen bebas selepas 12 musim bersama kelab Jerman itu, di mana dia mendapat jolokan ‘Kaiser Franck’ dan memenangi sembilan gelaran liga serta 23 trofi keseluruhan dalam kerjaya kelabnya.

“Bola sepak adalah hidup saya. Saya masih cintakan bola sepak dan sebab itu saya mahu kekal di Eropah,” kata Ribery, 36, yang menandatangani kontrak dua tahun bernilai 4 juta euro setahun berserta bonus.

“Budaya di sini istimewa. Penduduknya begitu ghairah dengan bola sepak. Ia pengalaman yang menarik buat saya untuk datang ke Itali dan menikmatinya.

“Saya amat bersemangat dan masih dahagakan kejayaan. Saya mahu berkongsi pengalaman saya dan memberi impak kepada kelab ini,” katanya. – AFP

Ribery menimang bola selepas diperkenalkan kepada para peminat di stadium perbandaran Artemio Franchi di Florence, kelmarin. – AFP