Ribuan akaun kerajaan Kanada digodam

TORONTO, 16 OGOS – Ribuan akaun pengguna bagi perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan secara dalam talian digodam dalam satu serangan siber baru-baru ini, lapor pihak berkuasa semalam.

Serangan itu menyasarkan perkhidmatan GCKey yang digunakan oleh sebahagian daripada 30 Jabatan Persekutuan dan akaun Agensi Hasil Kanada (CRA), kata Sekretariat Lembaga Perbendaharaan Kanada dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, pihak berkuasa turut memaklumkan kira-kira 5,500 akaun pengguna CRA disasarkan dalam serangan berkenaan dan percubaan lain seumpamanya.

“Sebanyak 9,041 kata laluan dan nama pengguna pemegang akaun GCKey diperoleh dengan cara penipuan dan digunakan untuk akses kepada perkhidmatan kerajaan.

“Akses bagi akaun terjejas telah digantung untuk melindungi maklumat pembayar cukai,” katanya.

Sehubungan itu, semua akaun yang terjejas itu sudah dibatalkan. Katanya, siasatan terperinci sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan pihak polis bagi mengenal pasti sekiranya terdapat pelanggaran privasi atau terdapat pengguna yang membocorkan maklumat peribadi mereka. – AFP