Ribuan banjiri pantai di UK

BOURNEMOUTH, UNITED KINGDOM, 26 JUN – Cuaca panas di United Kingdom (UK) mendorong ribuan pengunjung membanjiri pantai semalam, walaupun berdepan ancaman wabak COVID-19.

Pejabat Meteorologi memaklumkan suhu mencecah 33.3 darjah Celsius direkodkan di Lapangan Terbang Heathrow di barat London, sehari selepas suhu setinggi 32.6 darjah Celsius mendorong orang ramai berpusu-pusu ke pantai.

Insiden berkenaan ternyata menggemparkan pihak berkuasa tempatan di Bournemouth yang sangat terkejut apabila mendapati beribu-ribu orang memenuhi kawasan pantai ketika cuaca begitu cerah.

Malah, mereka berkata keadaan itu menyebabkan jalan raya mengalami kesesakan teruk, tempat parkir haram merata-rata, sampah bertimbun serta perilaku tidak wajar seperti pergaduhan akibat mabuk.

Kunjungan ke pantai dibenarkan selepas perintah berkurung di seluruh negara akibat penularan COVID-19, dilonggarkan tetapi orang ramai tetap digesa agar mengelakkan perhimpunan beramai-ramai, manakala pub dan restoran masih ditutup hingga 4 Julai ini.

Ketua majlis perbandaran, Vikki Slade, berkata Bournemouth yang terletak di selatan pantai Inggeris, belum bersedia menerima kehadiran sebegitu ramai pengunjung, sekali gus meminta mereka meninggalkan kawasan itu.

Pantai lain di seluruh Britain turut dilaporkan padat dengan pengunjung, termasuk di Southend-on-Sea di mana Magda Bewick merupakan antara mereka yang enggan melepaskan peluang melakukan aktiviti berjemur.

“Saya sudah kehilangan pekerjaan, justeru apa lagi yang boleh dilakukan? Saya sudah bosan berkebun,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, Penolong Ketua Konstabel Sam de Reya daripada Polis Dorset di Bournemouth pula berkata, pasukannya terpaksa berharap orang ramai mengambil tanggungjawab kendiri berhubung keadaan terbabit. – AFP

Pengunjung pantai berjemur dan mandi-manda di laut di pantai Bournemouth di Bournemouth, selatan England pada 25 Jun 2020. – AFP