Thursday, December 5, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan bantah Netanyahu sebelum berucap di PBB

    NEW YORK, 27 SEPT – Beribu-ribu aktivis, ahli organisasi hak asasi manusia dan wakil dari komuniti Palestin, Arab dan Muslim berhimpun di luar kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di New York City, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin, WAFA.

    Bantahan itu berlangsung menjelang ucapan Netanyahu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, bagi menzahirkan kebimbangan berterusan terhadap kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin serta peningkatan keganasan di Lubnan baru-baru ini.

    Sejak ketibaan Netanyahu di Manhattan untuk menghadiri mesyuarat PBB, demonstrasi besar berlaku di beberapa jalan dengan desakan agar Netanyahu dan tentera Israel dipertanggungjawabkan atas kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

    Penunjuk perasaan turut mengecam serangan agresif Israel ke atas Lubnan baru-baru ini.

    Para aktivis merancang untuk meneruskan demonstrasi sepanjang kehadiran Netanyahu di New York, dengan matlamat untuk mendesak delegasi yang menghadiri Perhimpunan Agung bertindak segera bagi menamatkan serangan berterusan Israel. – Bernama

    Para penunjuk perasaan berarak dengan sepanduk dan bendera melalui jalan-jalan di New York sebagai sebahagian daripada protes di seluruh bandar menentang Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 26 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda