Ribuan bantah sekatan baharu di Serbia

BELGRADE, 8 JULAI – Puluhan orang cedera dan kira-kira 20 ditahan selepas bantahan menentang perintah berkurung koronavirus baharu di Belgrade bertukar menjadi ganas sebelum subuh hari ini, dengan pertempuran berlarutan di antara penunjuk perasaan dan polis mengucar-ngacirkan ibu negara Serbia.

Beberapa ribu orang membanjiri pusat bandar lewat semalam untuk membantah pelaksanaan semula perintah berkurung hujung minggu untuk memerangi peningkatan virus.

Perhimpunan yang aman pada mulanya bertukar menjadi pertempuran apabila polis menggunakan gas pemedih mata ke atas pembantah, ada di antara mereka menyerbu masuk ke bangunan parlimen sementara yang lainnya melontar batu dan pelancar lain pada pegawai.

Kemarahan disasarkan pada Presiden Aleksandar Vucic, yang dituduh oleh pengkritik mengundang gelombang kedua jangkitan dengan segera membatalkan langkah sekatan demi mengadakan pilihan raya pada 21 Jun, yang dimenangi besar oleh partinya dalam pengundian yang dipulau oleh pembangkang utama.

Hari ini, kumpulan hak asasi menuduh polis menggunakan kekerasan semasa bantahan. Gambar yang disiarkan oleh saluran TV N1 menunjukkan pegawai menggunakan belantan untuk memukul tiga lelaki yang duduk di bangku.

“Kami melaporkan 43 polis cedera dan mempunyai maklumat mengenai 17 penunjuk perasaan yang cedera, beritahu ketua polis Vladimir Rebic kepada penyiar awam RTS hari ini.

“Kami hanya menggunakan kekerasan apabila ia digunakan ke atas kami,” katanya, menambah 23 orang ditahan sementara tiga kuda polis juga cedera. – AFP

Ribuan pembantah yang marah pada pelaksanaan perintah berkurung hujung minggu berkumpul di depan bangunan Perhimpunan Negara di Belgrade tatkala polis Serbia menembak gas pemedih mata untuk meleraikan mereka. – AFP