Ribuan berhimpun cetus bantahan di Nepal

KATHMANDU, NEPAL, 22 JAN – Puluhan ribu orang mengadakan bantahan di ibu kota Nepal hari ini terhadap perdana menteri kerana membubarkan parlimen dan memerintahkan pemilihan baharu dalam perseteruan yang semakin meningkat dalam parti pemerintah.

Para penyokong kumpulan dalam Parti Komunis Nepal berarak dengan aman di pusat Kathmandu ketika mereka menuntut agar Perdana Menteri Khadga Prasad Oli mengembalikan semula parlimen.

Kawalan keselamatan telah diperketatkan di ibu kota, dengan penghalang kawat berduri dan polis dengan alat rusuhan menyekat kawasan di sekitar pejabat utama pemerintah. Tidak ada laporan mengenai keganasan.

Parlimen dibubarkan pada 20 Disember atas arahan perdana menteri dan pemilihan baharu diumumkan untuk 30 April dan 10 Mei 2021.

Oli menjadi perdana menteri selepas Parti Komunis Nepal memenangi pilihan raya tiga tahun lalu. Parti Oli dan parti bekas pemberontak Maoist sebelumnya bergabung untuk membentuk gabungan parti Komunis.

Namun, ketegangan telah meningkat antara Oli dan pemimpin bekas pemberontak, Pushpa Kamal Dahal, yang juga ketua parti itu. Kedua-duanya sebelumnya telah bersetuju bahawa mereka akan membahagikan tempoh lima tahun perdana menteri antara mereka, tetapi Oli membantah dan menolak cadangan tersebut. – AFP

Penyokong Parti Komunis Nepal mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan tersebut di Kathmandu, Nepal, kelmarin. – AFP