Ribuan biri-biri mati insiden kapal karam

BUCHAREST, 1 DIS – Ribuan biri-biri mati dan 254 lagi diselamatkan dari sebuah kapal kargo yang tenggelam di Romania dalam operasi selama lima hari.

Kapal kargo Queen Hind tenggelam pada Ahad lalu selepas belayar dari pelabuhan Midia untuk menghantar 14,600 biri-biri ke Arab Saudi.

Jurucakap Kecemasan Romania, Ana-Maria Stoica berkata pihaknya menunggu waktu sesuai untuk menunda kapal itu ke pelabuhan.

“Bangkai biri-biri akan dihantar ke insinerator untuk dibakar,” katanya.

Punca kapal tenggelam masih belum diketahui, namun organisasi bukan kerajaan Antarabangsa Haiwan mendakwa kapal itu membawa muatan berlebihan.

Seramai 20 pekerja dari Syria dan seorang rakyat Lubnan yang berada di atas kapal itu diselamatkan sejurus selepas kejadian berlaku. – AFP