SYDNEY, 3 JULAI – Ribuan warga Australia telah diarahkan untuk mengosongkan rumah mereka di Sydney hari ini ketika hujan berterusan membadai bandar terbesar di negara itu dan membanjiri pinggirannya.
Jalan-jalan di seluruh bandar itu telah terputus dan pihak berkuasa berkata kira-kira 18 arahan pemindahan telah dikuatkuasakan di barat Sydney, sebuah kawasan yang dibanjiri teruk pada Mac.
“Ini adalah situasi kecemasan me-ngancam nyawa,” kata Stephanie Cooke, menteri perkhidmatan kecemasan bagi negeri New South Wales, katanya kepada wartawan.
Australia mengalami perubahan iklim yang teruk, dengan kemarau, kebakaran hutan, kejadian pemutihan Terumbu Sawar Besar dan banjir yang semakin sering terjadi dan bertambah hebat akibat perubahan pola cuaca global.
Dengan cuaca lebih mengganas dijangka berlaku dalam masa beberapa hari, Cooke menyifatkan banjir itu sebagai satu ‘situasi berkembang pantas’ dan memberi amaran orang ramai perlu ‘bersedia untuk berpindah segera’.
Empangan Warragamba bandar itu mula melimpah pada awal hari ini, katanya, lebih awal daripada ramalan pihak berkuasa.
Sementara di Camden, sub bandar barat daya Sydney yang menjadi tempat tinggal kepada lebih 100,000 orang, kedai-kedai tempatan dan stesen petrol telah dibanjiri oleh air bah.
Cooke meminta mereka yang tinggal di sepanjang 500km pantai timur Australia, kedua-dua utara dan selatan Sydney, untuk mempertimbangkan rancangan cuti sekolah mereka kerana cuaca itu.
Perkhidmatan kecemasan melancarkan 29 usaha menyelamat dan telah dihubungi lebih 1,400 kali dalam masa 24 jam sebelumnya, katanya. – AFP