Ribuan dipindahkan, kebakaran musnah hampir 20,000 hektar

LOS ANGELES, 20 OGOS – Ribuan penduduk di utara California meninggalkan kediaman masing-masing semalam berikutan kebakaran akibat kilat merebak pantas hingga mengakibatkan seorang juruterbang helikopter maut ketika berusaha melepaskan air di kawasan terjejas.

Di Vacaville, 100,000 orang meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri, malah amaran yang sama itu turut diberikan di wilayah Sonoma dan Napa.

Pegawai Cal Fire mengatakan siri kebakaran di wilayah itu yang dikenali sebagai Kompleks Kilat LNU, memusnahkan 50 rumah, membakar hampir 20,000 hektar kawasan yang sehingga kini belum dapat diatasi.

Di wilayah Santa Cruz dan San Mateo, siri kebakaran yang dikenali Kompleks Kilat CZU memaksa penutupan sebahagian Lebuh raya 1 ketika api menghampiri jalan raya.

Gabenor Gavin Newsom yang mengisytiharkan darurat bagi memudahkan pengeluaran dana kecemasan, mengatakan kebakaran hutan disebabkan ribuan kilat dalam tempoh beberapa hari lalu di Bay Area.

“Kira-kira 10,849 serangan kilat dalam tempoh 72 jam sebelum ini dan mencatatkan rekod suhu panas di dunia dan kini sedang melawan 367 kebakaran yang diketahui dengan 23 daripadanya adalah kebakaran besar,” kata Newsom di Twitternya.

Newsom berkata jabatan pemadam kebakaran di negeri lain, termasuk Nevada, Arizona dan Texas, menghantar bantuan untuk membantu melawan kebakaran yang disebabkan oleh panas dan kelembapan rendah yang kini sudah membakar 120,000 hektar di seluruh negeri.

Dalam tempoh seminggu lalu, Death Valley California mengalami suhu tinggi sehingga 54.4 darjah Celsius dan hampir 45 juta orang di seluruh barat Amerika Syarikat berada di bawah amaran panas.

Gabenor Washington, Jay Inslee mengisytiharkan keadaan darurat atas beberapa kebakaran yang mengancam keselamatan dan kehidupan penduduk Washington di seluruh negeri. – AFP

Kebakaran hutan di Fairfield merebak pantas sehingga memusnahkan hampir 20,000 hektar pada 19 Ogos. – AFP
Kebakaran dilihat semakin merebak di sekitar Lake Berryessa di California.Ribuan penduduk di utara California meninggalkan kediaman masing-masing semalam berikutan kebakaran akibat kilat merebak pantas sehingga mengakibatkan seorang juruterbang helikopter maut ketika berusaha melepaskan air di kawasan terjejas. – AFP