Ribuan hadiri rumah terbuka KM Sabah

KOTA KINABALU, 7 JUN – Ribuan rakyat pelbagai kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib, di kediaman mereka di Likas, dekat sini hari ini.

Majlis yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 9 malam itu dimeriahkan lagi kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R. M Jasni.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau, Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong serta menteri kabinet.

Pelbagai juadah enak termasuk sate, ketupat, lemang dan rendang dihidangkan kepada tetamu yang hadir.

Selain hidangan, tetamu juga dihiburkan dengan persembahan daripada artis tempatan negeri ini.

Pada majlis itu, Tun Juhar turut membuat persembahan bermain gitar sambil mendendangkan beberapa lagu sambil diiringi oleh Mohd Shafie.

Ahad ini orang ramai turut dijemput hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Ketua Menteri bersama jemaah Kabinet di perkarangan Menara Tun Mustapha (Yayasan Sabah), Likas. – Bernama

Tun Juhar Mahiruddin (dua kiri) bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) memotong kek bersama sempena Rumah Terbuka Hari Raya Ketua Menteri Sabah di Rumah Yayasan Sabah, kelmarin. – Bernama