Ribuan jejas lapangan terbang HK

HONG KONG, 12 OGOS – Kesemua penerbangan keluar dan masuk ke Hong Kong dibatalkan hari ini selepas ribuan penunjuk perasaan pro-demokrasi membanjiri lapangan terbang bandar tersebut  bagi mengutuk keganasan polis.

Penutupan mendadak di salah sebuah hab paling sibuk di dunia itu berlaku ketika kerajaan China menyatakan kemarahannya yang semakin meningkat ke atas para penunjuk perasaan, mengecam sebahagian demonstrasi ganas mereka sebagai ‘pengganasan’.

Perkembangan itu menandakan satu lagi tahap dramatik dalam tempoh 10 minggu krisis itu berlanjutan, yang sudah menjadi cabaran terbesar pemerintahan China ke atas Hong Kong sejak 1997.

Menurut pihak berkuasa, lebih daripada 5,000 pembantah membanjiri lapangan terbang Hong Kong dengan membawa pelekat-pelekat dan melaungkan slogan mengutuk keganasan polis.

Meskipun beberapa perhimpunan telah dibuat di beberapa hab pengangkutan dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini, pihak berkuasa lapangan terbang berkata perhimpunan di lapangan terbang hari ini telah mencetuskan kekacauan signifikan.

Para penunjuk perasaan ketika menjalankan protes di balai ketibaan lapangan terbang Hong Kong kelmarin. – AP

“Operasi lapangan terbang terjejas dengan serius akibat daripada perhimpunan awam di lapangan terbang hari ini,” menurut kenyataan itu.

“Selain penerbangan pergi yang sudah melengkapi proses kemasukan dan penerbangan tiba yang sudah menuju ke Hong Kong, kesemua penerbangan selebihnya dibatalkan.”

Sekurang-kurangnya 150 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang yang mengendalikan kira-kira 200,000 orang penumpang sehari itu.

Cathay Pacific yang berpangkalan di Hong Kong memberi amaran bahawa gangguan itu boleh berlanjutan sehingga esok, dan menyarankan kepada para pelanggannya untuk ‘menangguhkan mana-mana perjalanan yang kurang penting’.

Di lapangan terbang, para penunjuk perasaan mengangkat kadbod bertulis ‘Hong Kong tidak selamat’ dan ‘Polis memalukan’. Mereka menuduh pasukan polis menggunakan kekerasan dan taktik yang tidak sesuai untuk menangani para penunjuk perasaan. – AFP