NEW YORK, 9 JAN — Para jururawat di dua buah hospital terbesar New York City kelmarin telah melancarkan mogok dalam pertikaian mengenai isu gaji dan kekurangan pekerja selepas rundingan hujung minggu yang gagal menghasilkan perjanjian untuk kontrak baharu.
Mogok tersebut melibatkan sehingga 3,500 orang jururawat dari Pusat Kesihatan Montefiore di Bronx dan kira-kira 3,600 di Hospital Mt Sinai di Manhattan. Para pesakit berkemungkinan akan mengalami gangguan dalam penjagaan seperti lawatan bilik kecemasan dan wad bersalin.
Persatuan Jururawat Negeri New York, yang mewakili para pekerja, berkata ia terpaksa mengambil pendekatan drastik ini kerana kekurangan pekerja yang kronik yang menyebabkan mereka terpaksa mengendalikan terlalu banyak pesakit.
Beratus-ratus jururawat yang mogok melaungkan slogan, mengangkat papan tanda dan menyanyikan korus daripada lagu hit 1984 nyanyian Twisted Sister, We’re Not Gonna Take It di luar Hospital Mt Sinai di Manhattan.
“Kami merupakan wira dua tahun yang lalu,” kata Warren Urquhart, jururawat di unit transplan dan onkologi, yang merujuk kepada krisis COVID-19.
“Kami berada di barisan hadapan semasa segala-galanya terhenti.
Dan sekarang kami perlu berhenti supaya mereka dapat memahami betapa bernilainya kami kepada hospital ini dan kepada para pesakit.”
Jururawat, Juliet Escalon berkata, “Dahulu kami dipanggil sebagai wira, dan sekarang, beginikah cara awda melayan wira?” – AP