Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan kunjungi pesta TBC 1Malaysia

    PITAS, 18 Feb – Beribu-ribu anggota masyarakat daripada pelbagai kaum mengunjungi Kampung Solimpodon Laut di sini untuk menghadiri Pesta Tahun Baharu Cina (TBC) 1Malaysia peringkat daerah hujung minggu ini.

    Pesta tahunan itu diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri Masidi Manjun pada Sabtu.

    Pesta itu turut dimeriahkan oleh persembahan beberapa artis terkenal tanah air termasuk Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain dan Zamani serta enam kumpulan tarian etnik tempatan iaitu Kimaragang, Sonsogon, Rungus, Bajau dan Tambanuo.

    Pengerusi jawatankuasa penganjur Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata beliau berwawasan dan mengambil inisiatif menjadikan pesta itu acara tahunan kerana ia merupakan tradisi keluarganya.

    “Semasa hayat beliau, bapa saya amat berharap untuk mengadakan program gilang-gemilang ini di kampung halamannya dan hasil bantuan orang di sini, impian kami itu menjadi kenyataan,” katanya.

    Dr Ruddy, yang juga naib presiden Pribumi Sabah, berkata penganjuran pesta itu bertujuan mewujudkan suasana meriah di pekan berkenaan.

    “Saya ingin mewujudkan suasana ceria dan meriah dalam menyambut Tahun Baharu Cina setiap tahun dan semoga acara ini juga akan mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam kalangan rakyat,” kata beliau.

    Untuk rekod, pesta itu tersenarai dalam Malaysia’s Book of Record 2016 sebagai acara sambutan Tahun Baharu Cina paling panjang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda