Ribuan larikan diri daripada pertempuran sengit

YANGON, 11 Jan – Beribu-ribu orang melarikan diri daripada pertempuran sengit di sempadan utara Myanmar dengan China semalaman, kata aktivis hari ini, tatkala kerajaan menghalang seorang pegawai kanan PBB daripada mengunjungi kawasan tersebut.

Pertempuran di antara tentera dan militia minoriti etnik di sempadan Myanmar telah meningkat dalam beberapa bulan ini, menjejas janji Aung San Suu Kyi untuk membawa keamanan kepada negara sejak partinya menerajui tampuk pentadbiran pada Mac.

Berpuluh orang telah terbunuh dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal sejak pertempuran baru meletus di antara tentera Myanmar dan Tentera Bebas Kachin (KIA) pada November.

Pergolakan telah melanda seluruh negeri Shan dan Kachin, mengancam rundingan perdamaian seterusnya di antara tentera kerajaan dan kumpulan etnik yang dijadualkan pada Februari. – AFP