Ribuan merusuh, bangunan kerajaan dibakar

MANOKWARI, 19 OGOS – Rusuhan tercetus dan sebuah bangunan parlimen tempatan dibakar di Papua, Indonesia hari ini, ketika beribu-ribu memprotes penahanan aktivis pelajar pro-kemerdekaan pada hujung minggu.

Seorang wartawan AFP di tempat kejadian menganggarkan beberapa ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan Manokwari, ibu kota wilayah Papua Barat, melumpuhkan bandar berpopulasi 130,000 orang itu.

Sebahagian penunjuk perasaan membakar kedai-kedai dan kenderaan, merosakkan tanda jalan dan membaling batu ke arah bangunan kerajaan.

“Bangunan kerajaan dibakar,” kata timbalan gabenor Papua Barat, Mohamad Lakotani memberitahu Kompas TV. “Di pusat bandar, pasar dan pelabuhan serta kedai-kedai juga terjejas. Semua kegiatan secara asasnya lumpuh,” tambahnya.

Tiga pegawai polis cedera akibat dibaling batu oleh penunjuk perasaan, menurut polis. Tidak jelas sama ada terdapat penunjuk perasaan yang cedera.

Rusuhan hari ini dicetuskan oleh laporan bahawa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan memberkas sejumlah 43 orang pelajar universiti Papua di bandar kedua terbesar, Surabaya pada Sabtu—ketika Indonesia meraikan hari kemerdekaannya.

Media tempatan dan aktivis Papua mengatakan polis yang menangani rusuhan, menyerbu ke dalam asrama dan menggunakan gas pemedih mata dalam usahanya memaksa pelajar keluar—yang didakwa merosakkan bendera Indonesia.

Jurucakap polis kebangsaan Dedi Prasetyo tidak menafikan laporan polis menggunakan gas pemedih mata, namun menjelaskan bahawa para pelajar di Surabaya hanya ‘disoal siasat’ seketika sebelum dibebaskan. – AFP

Penunjuk perasaan berada di jalan raya untuk bersemuka dengan polis Indonesia di Manokwari, Papua, 19 Ogos. Rusuhan tercetus di Papua dengan bangunan parlimen tempatan dibakar kerana dakwaan polis mengasari dan menahan pelajar yang menyokong kemerdekaan pulau itu. – AFP