RAFAH, WILAYAH PALESTIN, 3 NOV – Israel hari ini mula menghantar beribu-ribu pekerja Palestin pulang ke Gaza yang telah terkandas di Israel sejak perangnya dengan Hamas
meletus, kata seorang pegawai sempadan Gaza.
“Beribu-ribu pekerja yang disekat di Israel sejak 7 Oktober telah dibawa pulang,” beritahu Hisham Adwan, ketua pihak berkuasa lintasan Gaza, kepada AFP.
Rakaman AFPTV yang disiarkan awal hari ini menunjukkan kumpulan pekerja tiba melalui lintasan sempadan Karem Abu Salem antara Israel dan selatan Gaza, yang biasanya hanya digunakan untuk penghantaran barangan.
Israel berkata lewat semalam ia akan mula menghantar pulang pekerja Palestin ke Gaza.
“Israel memutuskan semua hubungan dengan Gaza. Tidak akan ada lagi pekerja Palestin dari Gaza,” kata kabinet keselamatan Israel dalam satu kenyataan.
“Pekerja dari Gaza yang berada di Israel pada hari meletusnya perang akan dikembalikan ke Gaza,” tambahnya, tanpa menyatakan bilangan orang yang akan dihantar pulang.
Sebelum perang bermula, kira-kira 18,500 warga Gaza memegang permit kerja Israel, menurut angka yang diberikan oleh COGAT, badan pertahanan Israel yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal awam Palestin.
COGAT tidak segera menjawab permintaan mengenai jumlah penduduk Gaza yang bekerja di Israel pada 7 Oktober, apabila pejuang Hamas menyerbu sempadan Israel dan membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pegawai Israel. – AFP