BANGKOK, 13 MAC – Beribu-ribu pelancong Rusia di Thailand bergelut untuk mencari jalan pulang, pegawai-pegawai Thailand berkata hari ini, ketika sekatan-sekatan antarabangsa yang dikenakan disebabkan peperangan di Ukraine menjejaskan pelancong.
Serangan Rusia pada Februari lalu mencetuskan langkah-langkah antarabangsa yang menyasarkan perniagaan dan bank-bank, dengan sebilangan syarikat penerbangan Rusia membatalkan penerbangan-penerbangan dan firma-firma pembayaran global menggantung perkhidmatan.
Pelancong-pelancong Rusia adalah antara kumpulan pengunjung terbesar yang kembali ke tempat peranginan tepi pantai sejak sekatan-sekatan pandemik dilonggarkan, tetapi ramai kini tidak mempunyai tiket pulang.
Pegawai Autoriti Pelancongan Thailand (TAT), Chattan Kunjara Na Ayudhya berkata bahawa 3,100 warga Rusia terkandas di Phuket, sementara lebih 2,000 di Samui dan sejumlah kecil di Krabi, Phang Nga dan Bangkok.
Kementerian berkenaan sedang berusaha membantu mereka yang ingin pulang, katanya, termasuk “perbincangan mengenai penerbangan pulang yang mungkin penerbangan biasa atau khas”.
Pelancong Rusia dan ibu tiga anak, Evgenia Gozorskaia berkata bahawa keluarganya mendapati tiket-tiket penerbangan balik Aeroflot telah dibatalkan.
“Kami sangat khuatir kerana anak-anak masih kecil, kami tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk tinggal di sini,” kata ahli psikologi berusia 41 itu yang tiba dari Moscow bersama suami dan anak-anaknya yang masing-masing berusia tujuh, empat dan dua tahun pada 27 Februari.
“Kami ingin pergi ke lapangan terbang esok, tetapi saya tidak tahu bagaimana situasinya nanti,” katanya dari Phuket, menambah bahawa mereka sepatutnya terbang balik pada 28 Mac.
Katanya lagi, sementara tiket sebilangan orang telah diganti, yang lain termasuk keluarganya tidak bernasib baik.
“Mereka berkata mereka tidak dapat melakukannya dan meletakkan telefon,” ujarnya. – AFP