KUTUPALONG, BANGLADESH, 19 JUN – Berpuluh-puluh ribu orang pelarian Rohingya di Bangladesh mengadakan tunjuk perasaan pada Ahad bagi menuntut penghantaran balik ke Myanmar, di mana mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera yang kejam lima tahun lalu.
Hampir sejuta Rohingya terbatas di pondok-pondok buluh dan kain terpal di 34 kem kotor di tenggara Bangladesh, dengan tiada kerja, sanitasi teruk dan kurang akses kepada pendidikan.
Negara tuan rumah yang semakin membatasi pergerakan mereka telah melarang mereka daripada mengadakan perhimpunan-perhimpunan sejak bandaran besar seramai 100,000 orang pada Ogos 2019.
Namun pihak berkuasa membenarkan beberapa kumpulan Rohingya untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan ‘Pulang’ secara serentak menjelang Hari Pelarian Sedunia pada Isnin.
“Kami tidak mahu tinggal di kem-kem. Menjadi pelarian tidak mudah. Ia neraka. Sudah cukup. Mari pulang,” pemimpin tertinggi komuniti Rohingya, Sayed Ullah berkata dalam ucapan pada satu perhimpunan.
Tunjuk perasaan berkenaan diadakan selepas setiausaha-setiausaha luar negara Bangladesh dan Myanmar minggu lalu mengadakan pertemuan, yang pertama dalam masa hampir tiga tahun, menerusi sidang video.
Seorang pegawai kementerian luar Bangladesh memberitahu AFP bahawa semasa pertemuan itu, Dhaka menekan Naypyidaw supaya penghantaran balik pelarian bermula tahun ini.
Polis berkata, beribu-ribu orang pelarian, termasuk kanak-kanak, menyertai perarakan dan perhimpunan-perhimpunan berkenaan, berdiri di jalan-jalan raya dan lorong dengan pelekat yang bertulis ‘Sudah Cukup! Mari Pulang’. – AFP
