Ribuan penduduk Rom bantah pas kesihatan COVID-19

ROM, 10 OKT – Ribuan pembantah termasuk ahli kumpulan sayap kanan membuat demonstrasi di pusat Rom kelmarin terhadap peluasan sistem pas kesihatan COVID-19 di semua tempat kerja.

Terdapat pertikaian dengan polis ketika pembantah menentang penguatkuasaan pas kesihatan tersebut, yang menjadi syarat untuk memasuki muzium, acara sukan dan restoran semenjak bulan Ogos.

Walaupun perarakan tersebut dibenarkan, beberapa ratusan orang melanggar arahan daripada pihak berkuasa dan mara menuju parlimen. Polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menghentikan mereka dan menahan beberapa pembantah dalam pertembungan tersebut, menurut laporan agensi berita AGI.

Bantahan yang berasingan berlangsung di ibu kota dan lokasi lain di bandar utara Milan dan di Cesena, tengah Itali.

Tiga minggu yang lalu, kerajaan perdana menteri, Mario Draghi mengumumkan bahawa skim itu akan diperluaskan ke semua tempat kerja mulai 15 Oktober dan mana-mana pekerja yang enggan mematuhi peraturan tersebut akan menghadapi penggantungan kerja tanpa gaji. Sistem pas kesihatan sudah dipraktikkan untuk semua pekerja perubatan. Ia memerlukan orang untuk memberikan sijil vaksinasi sebagai bukti pemulihan dari COVID-19 atau keputusan ujian negatif yang terbaharu. Pesara, Maria Ballarin mengecam ‘pemerasan jenayah dan pengecut’ oleh negara Itali.

Dengan tidak mewajibkan vaksinasi tetapi memaksa pekerja untuk mendapatnya “itu membebaskan dirinya daripada segala tanggungjawab untuk membawa maut atau akibat yang serius, tetapi secara tidak langsung mewajibkan orang untuk divaksin supaya dapat pergi bekerja,” katanya.

“Kami berdua digantung kerja dua bulan yang lalu,” beritahu Cosimo, salah seorang pembantah, kepada AFP. Dia dan isterinya, Morena bekerja sebagai jururawat.

Pasangan itu mengatakan mereka mempunyai masalah imuniti dan alahan dan dikecua-likan daripada divaksin oleh doktor keluarga mereka. Namun, kedua-duanya digantung tanpa dibayar gaji. Stefano, yang berasal dari Como di kawasan Utara menyertai bantahan kelmarin, berkata dia akan mengambil ujian tersebut. “Saya harus membayar untuk bekerja, itu tidak masuk akal,” katanya.

Hampir 80 peratus daripada penduduk berusia 12 tahun ke atas di Itali sudah lengkap divaksin, menurut statistik kerajaan. Negara Eropah pertama untuk menghadapi kesan penuh pandemik COVID-19, Itali telah menderita lebih dari 130,000 kematian. – AFP

Penunjuk perasaan membantah pas kesihatan wajib digelar sebagai ‘pas hijau’ dengan tujuan untuk membendung penularan COVID-19 di pusat Rom pada 9 Oktober. – AFP