Sunday, December 4, 2022
25.9 C
Brunei

-

Ribuan rakyat bersatu meriahkan junjung ziarah

Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi & Normazlina M.D

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H

 

TUTONG, 18 Julai – Dengan barisan bendera kecil negara yang dikibarkan oleh murid-murid dan pelajar sekolah sepanjang jalan menuju kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong serta kehadiran ribuan rakyat, bukan sahaja menunjukkan semangat perpaduan tetapi juga ketaatsetiaan bagi

sama-sama memeriahkan serta menyaksikan lebih dekat lagi acara bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71, hari ini.

Cuaca mendung pada pagi hari tidak menggugat semangat ribuan rakyat dan penduduk untuk sama-sama berkumpul tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan usia bagi menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain dengan membawa semangat perpaduan dan taat setia kepada raja serta negara yang dicintai.

Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk di Daerah Tutong. – Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk di Daerah Tutong. – Infofoto
Baginda Sultan ketika berkenan bercemar duli dan menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk di Daerah Tutong. – Infofoto
Baginda Sultan ketika berkenan bercemar duli dan menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk di Daerah Tutong. – Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain ketika berkenan berangkat ke majlis santap.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain ketika berkenan berangkat ke majlis santap.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Perdana Wazir turut berkenan berangkat bagi menerima junjung ziarah daripada rakyat serta penduduk Daerah Tutong.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Perdana Wazir turut berkenan berangkat bagi menerima junjung ziarah daripada rakyat serta penduduk Daerah Tutong.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan dijunjung bergambar bersama salah seorang penduduk sempena majlis ramah mesra dan junjung ziarah kelmarin.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan dijunjung bergambar bersama salah seorang penduduk sempena majlis ramah mesra dan junjung ziarah kelmarin.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dimainkan dan disusuli dengan laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’.

Awang Shamsul Bahrin dalam sembah alu-aluannya berkata, seluruh rakyat dan penduduk Daerah Tutong dengan penuh hormat serta takzim menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan atas kurnia perkenan Baginda berangkat bercemar duli dan junjung ziarah bersama rakyat dan penduduk daerah itu.

Beliau berkata lagi, sesungguhnya keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli ke Daerah Tutong merupakan peluang keemasan yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk Daerah Tutong bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam terhadap raja yang sangat dicintai.

Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, acara diserikan dengan sebuah persembahan khas yang membawakan tema ‘Raja Bijaksana, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.

Persembahan khas itu merupakan gabungan peserta daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, para belia, penuntut sekolah, wakil-wakil puak dan masyarakat Daerah Tutong, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, persatuan-persatuan, badan bukan kerajaan serta badan-badan sukarela di Daerah Tutong seramai 471 orang.

Kemeriahan suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di daerah itu jelas terlihat di wajah setiap rakyat dan penduduk yang tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain seterusnya menyembahkan sembah kehadapan majlis Baginda Sultan.

Keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli serta beramah mesra bersama rakyat merupakan suatu tradisi murni yang dapat memberi peluang keemasan dan dinanti-nantikan khasnya golongan warga emas serta penduduk di daerah ini.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -