Ribuan tan gandum terkandas di pelabuhan India

AHMEDABAD, 17 MEI – India hari ini menyaksikan ratusan ribu tan gandum terkandas di pelabuhan utamanya, selepas larangan eksport produk itu susulan kebimbangan terhadap inflasi dan sekuriti makanan.

Negara pengeluar gandum kedua terbesar dunia itu minggu lalu melarang peniaga daripada memeterai perjanjian baharu eksport tanpa mendapat kelulusan kerajaan.

Pengumuman mengejutkan itu mengakibatkan keadaan kucar-kacir di pelabuhan utama, Kandla di Gujarat apabila lebih 4,000 trak terkandas di bahagian luar, manakala empat lagi kapal dipenuhi separuh muatan sekitar 80,000 tan gandum turut berlabuh di situ, kata pengendali pelabuhan.

Pengendali pelabuhan berkata, trak yang tiba sebelum 13 Mei, tarikh pengumuman larangan eksport, dibenarkan memasukkan gandum ke kapal untuk dibawa ke negara lain termasuk Mesir dan Korea Selatan di bawah perjanjian sebelum ini.

Dewan Perdagangan Gand-hidham menganggarkan kira-kira 400,000 tan gandum dari Punjab, Haryana, Madhya Pradesh dan negeri lain yang menanam gandum, terkandas.

Presiden dewan perniagaan itu, Teja Kangad, berkata antara 500 hingga 700 gudang berhampiran pelabuhan itu dipenuhi dengan gandum untuk dieksport.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya memberikan notis awal sebelum mengumumkan larangan tersebut. – AFP

Ratusan guni gandum kelihatan terkandas di pelabuhan Kandla di New Delhi selepas larangan eksport produk itu. – AFP