Ribuan tentera sertai serangan Turki

AKCAKALE, TURKI, 9 OKT – Berpuluh-puluh ribu tentera proksi Syria hari ini telah dikerah untuk mengambil bahagian dalam serangan Turki yang nampaknya akan berlaku tidak lama lagi ke atas tentera Kurdish di Syria, kata jurucakap.

Turki sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan ke atas tentera Kurdish yang dicapnya pengganas selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan beliau akan mengeluarkan tentera AS, meskipun kebimbangan antarabangsa berhubung kestabilan rantau berkenaan.

Pejuang Syria, kebanyakan mereka dari kawasan barat laut yang dikawal oleh Turki sejak serangan sebelumnya pada 2016 dan 2018, berkumpul di bekas kem pelarian di bandar sempadan Turki Akcakale.

Mereka adalah anggota puak Tentera Bebas Syria (FSA), gabungan kumpulan yang dibiayai oleh Ankara.

Sekurang-kurangnya 18,000 pejuang dijangka mengambil bahagian dalam peringkat pertama serangan Turki, menurut Abdelrahman Ghazi Dadeh, jurucakap untuk Anwar al-Haq, puak kecil dalam FSA.

Beliau berkata 8,000 akan menyasarkan bandar sempadan Syria Tal Abyad dan 10,000 bandar Ras al-Ain, beritahu Dadeh kepada wartawan di Akcakale.

Sejumlah besar pejuang tambahan juga dijangka dikerah untuk serangan ke atas bandar Kobane. – AFP

Seorang pegawai tentera Turki bersedia memunggah kereta kebal dari sebuah trak ke kedudukan baharunya di sempadan antara Turki dan Syria, wilayah Sanliurfa, tenggara Turki, pada 8 Oktober. – AP