Ribuan tolak undang-undang baharu

BUDAPEST, 17 Dis – Para penunjuk perasaan melemparkan bom asap ke arah polis yang bertindak balas dengan gas pemedih mata di Budapest semalam ketika beribu-ribu orang berhimpun untuk membantah ‘undang-undang perhambaan’ yang baharu oleh kerajaan Perdana Menteri konservatif Viktor Orban.

Menurut laporan media setempat, lebih 15,000 orang menyertai tunjuk perasaan – perhimpunan pertama sejak Orban kembali berkuasa pada 2010 untuk menyatukan kesemua parti-parti pembangkang, dari parti hijau ke parti berhaluan kanan di bawah perjuangan yang sama.

Bantahan itu diadakan oleh kesatuan dan parti pembangkang yang berang dengan reformasi itu susulan pertambahan waktu kerja lebih masa tahunan yang boleh dituntut oleh para pekerja dari 250 kepada 400 jam dan membolehkan pembayaran ditangguhkan sehingga tiga tahun.

Menurut kerajaan perubahan diperlukan oleh para majikan yang kekurangan tenaga kerja dan akan memberi manfaat kepada mereka yang mahu bekerja pada waktu tambahan.

Bantahan semalam berakhir di Dataran Parlimen, di mana para pembantah berhimpun dengan melaungkan slogan ‘Orban, pergi mampus!’ sejak undang-undang dibentuk pada Rabu lalu.

Para pembantah dipimpin oleh dua orang ahli perundangan pembangkang kemudiannya menuju ke ibu pejabat televisyen awam Hungary untuk membacakan satu petisyen namun kedua-duanya tidak dibenarkan masuk. Para pembantah kemudian melemparkan berbagai-bagai benda dan bom asap yang mengakibatkan polis bertindak balas dengan gas pemedih mata seperti yang telah mereka lakukan pada hari-hari sebelumnya.

“Mereka tidak berunding dengan sesiapa pun..Mereka melakukan apa yang mereka inginkan. Mereka mencuri segalanya. Keadaan ini tidak boleh berterusan dan tiada tolak ansur mengenainya,” menurut seorang pembantah, Zoli, seorang pekerja pengangkutan. – AFP

Salah seorang pembantah membawa slogan ‘Henti Orban!’ semasa menyertai perhimpunan yang diadakan di Budapest, kelmarin. – AFP