Ribuan warga Lubnan protes rasuah, kenaikan cukai

BEIRUT, 18 OKT – Ribuan pembantah menyekat lebuh raya utama di Lubnan dan membakar tayar untuk hari kedua hari ini manakala puluhan orang cedera dalam pertempuran dengan anggota keselamatan yang mengugat kerajaan gabungan negara.

Penunjuk perasaan telah membanjiri jalan raya dalam bantahan terhadap rasuah dan cadangan kenaikan cukai, dengan ramai menggesa pembaikpulihan sistem sektarian Lubnan dan menyuarakan rasa benci terhadap pemimpin mereka.

Perdana Menteri Saad Hariri dijangka menyampaikan ucapan pada lewat hari ini mengenai bantahan yang dicetuskan oleh cukai baharu ke atas pengguna WhatsApp dan aplikasi pesanan lain.

Pada tengah hari, beratus penunjuk perasaan telah melumpuhkan bandar Beirut.

Dengan asap daripada tayar terbakar, pembantah mengibarkan bendera Lubnan dan melaung ‘Rakyat menuntut kejatuhan rejim,’ slogan popular daripada pemberontakan Arab Spring pada 2011.

Kemarahan orang awam telah meningkat sejak parlimen meluluskan bajet jimat cermat pada Julai untuk membantu mengurangkan defisit yang meningkat.

Kemarahan memuncak semalam berhubung rancangan untuk memperkenalkan cukai $0.20 ke atas panggilan di aplikasi seperti WhatsApp, yang digunakan secara meluas di Lubnan.

Kerajaan membatalkan cadangan itu dalam masa beberapa jam namun tunjuk perasaan masih diteruskan sehingga awal hari ini. – AFP