MEXICO CITY, 13 Feb – Puluhan ribu penduduk Mexico membantah semalam ke atas Presiden AS Donald Trump, menyerang balas retorik dan janji anti-Mexico untuk memaksa negara mereka membayar tembok sempadan “besar, cantik” beliau.
“Mexico mesti dihormati, Encik Trump,” kata-kata kain rentang yang dibawa oleh pembantah di Mexico City, yang mengibarkan bendera Mexico warna merah, putih dan hijau ketika mereka berarak di jalan utama ibu negara di bawah pengawasan beribu-ribu polis.
Pembantah Julieta Rosas memakai kemeja-T dengan gambar Trump menayangkan misai Adolf Hitler.
“Kami berada di sini untuk membuat Trump melihat dan merasa seluruh negara, bersatu, sedang bangkit menentangnya dan kebodohan beliau yang bersifat xenophobia, diskriminasi dan fasis,” kata Rosas, seorang pelajar kesusasteraan di Universiti Autonomi Nasional Mexico (UNAM).
Dalam apa yang dijangka merupakan bantahan anti-Trump terbesar di Mexico, kira-kira 20 bandar menyertai gesaan untuk berarak yang dianjurkan oleh sekumpulan universiti, persatuan perniagaan dan pertubuhan sivik.

Terdapat 20,000 pembantah di bandar Mexico, menurut pihak berkuasa tempatan. Perarakan di Guadalajara, Monterrey dan Morelia juga menarik beribu-ribu orang, walaupun bantahan dirancang di bandar sempadan Tijuana tidak menjadi.
Hubungan AS-Mexico telah merosot kepada tahap paling rendah mereka dalam beberapa dekad sejak Trump menjadi presiden pada 20 Januari.
Trump, yang melancarkan kempen presiden menggelar penghijrah Mexico “penjenayah” dan “perogol,” telah menimbulkan kemarahan negara jiran Amerika Syarikat dengan rancangannya untuk menghalang penghijrahan haram dengan membina tembok di sempadan.
Presiden Mexico Enrique Pena Nieto membatalkan satu lawatan ke Washing-ton pada 31 Januari disebabkan desakan Trump meminta Mexico membayar tembok tersebut.
“Inilah masanya untuk membina jambatan, bukan tembok,” kata pembantah Jose Antonio Sanchez, 73 tahun, yang sedang berarak di Bandar Mexico dengan cucunya yang berusia sembilan tahun. – AFP